Isnin, 12 Julai 2021 | 11:01am
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Inokulasi hujung minggu meningkat 41.4 peratus

KUALA LUMPUR: Kadar pemberian suntikan vaksin di seluruh negara pada hujung minggu merekodkan peningkatan 41.4 peratus.

Lonjakan daripada 206,015 dos yang direkodkan pada 4 Julai lalu kepada 291,217 dos semalam, sekali gus melakar prestasi positif ke arah memacu matlamat digariskan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Prestasi sama direkodkan sebelum itu apabila kadar inokulasi bertambah daripada 168,956 dos pada 27 Jun lalu kepada 206,015 dos, seminggu kemudian, iaitu pertumbuhan 21.9 peratus.

Berdasarkan perincian Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), sebanyak 190,186 dos pertama diagihkan kepada penerima yang layak semalam, manakala 101,031 bagi dos kedua.

Media sebelum ini melaporkan kadar pemberian suntikan pelalian pada hujung minggu mencatatkan penurunan berbanding hari biasa, berikutan segelintir pusat pemberian vaksin (PPV) terpaksa ditutup.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, pada 29 Jun lalu dilaporkan berkata, PPV hanya akan beroperasi tujuh hari seminggu jika terdapat keperluan mendesak.

Katanya, semua PPV ketika itu mampu menampung kerja pemberian vaksin kepada masyarakat dengan hanya beroperasi enam hari seminggu, selari kapasiti bekalan sedia ada.

Sementara itu, mengikut jumlah kumulatif pemberian vaksin, sebanyak 15.1 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia setakat semalam sudah menerima dua dos lengkap.

Secara perbandingan, Wilayah Persekutuan Putrajaya mendahului prestasi populasi dewasa yang menerima dua dos lengkap, iaitu 47.7 peratus, diikuti Labuan (41.4 peratus), Perlis (30.4 peratus), Sarawak (27.3 peratus) dan Kuala Lumpur (26.6 peratus).

Berita Harian X