Isnin, 12 Julai 2021 | 8:45am
PPV berskala besar di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini mampu memuatkan kira-kira 4,000 penerima vaksin setiap hari. Foto BERNAMA
PPV berskala besar di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini mampu memuatkan kira-kira 4,000 penerima vaksin setiap hari. Foto BERNAMA

Percepatkan vaksinasi di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil pendekatan berasaskan risiko dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ketika kerajaan memperhebat usaha vaksinasi, demikian pandangan pakar kesihatan awam, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau yang juga profesor kesihatan awam dan Pro Naib Canselor Universiti Perubatan Antarabangsa, Kuala Lumpur, berkata bagi memaksimumkan pelalian, vaksinasi penduduk warga tua dan mereka yang mempunyai komorbiditi perlu dipercepat.

Usaha vaksinasi juga perlu ditumpukan ke kawasan bandar yang padat dengan penduduk dan aktiviti ekonomi yang tinggi.

Dr Lokman berkata, memandangkan kebanyakan kes COVID-19 ialah penularan tempatan, mereka yang tinggal dan bekerja di kawasan berkenaan berhadapan dengan risiko tinggi jangkitan.

"Kita boleh mula dengan mensasarkan program vaksinasi di kawasan bandar serta pinggir bandar di negeri yang menanggung beban kes COVID-19 serta kes kematian yang tinggi," katanya.

Beliau menjelaskan, Labuan perlu diberi keutamaan untuk vaksinasi besar-besaran kerana kadar kebolehjangkitan COVID-19 yang tinggi untuk setiap 100,000 orang penduduk.

"Labuan pusat ekonomi luar pesisir yang penting tetapi infrastruktur penjagaan kesihatan yang sederhana sahaja dan hanya mempunyai hospital daerah. Memandangkan penduduknya hanya kira-kira 100,000 orang, semua yang layak boleh diimunisasi dalam tempoh sehari atau dua sahaja," katanya.

Menurut Dr Lokman Hakim, kerajaan juga perlu fokus kepada program vaksinasi di Lembah Klang, terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Seremban, yang menyumbang lebih daripada 50 peratus kes harian baharu COVID-19 di Malaysia.

"Jika kita dapat mengawal penularan COVID-19 di Lembah Klang, kita mampu mengendalikannya di seluruh Malaysia.

"Dengan mengawal kadar jangkitan di Lembah Klang, kita akan juga meminimumkan risiko jangkitan menular ke negeri lain menerusi pergerakan rentas negeri," kata beliau yang juga ahli Kumpulan Penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk Program Kesiapsiagaan Pandemik Influenza.

Pegawai Farmasi Kesihatan, Hamiza Aziz menunjukkan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer (Concentrate for Dipersion for Injection COMIRNATY) daripada Amerika Syarikat di PPV Axiata Arena. - Foto BERNAMA
Pegawai Farmasi Kesihatan, Hamiza Aziz menunjukkan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer (Concentrate for Dipersion for Injection COMIRNATY) daripada Amerika Syarikat di PPV Axiata Arena. - Foto BERNAMA

Mengulas tentang keberkesanan vaksin terhadap jangkitan akibat varian COVID-19 yang lebih ganas, iaitu Delta dan Alpha, Dr Lokman Hakim berkata, data yang diterbitkan baru-baru ini hasil kajian Public Health England pada April dan Mei, menunjukkan kadar keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap varian Delta ialah 88 peratus, iaitu dua minggu selepas dos kedua diberi.

Ini berbanding kadar keberkesanan 93 peratus terhadap varian Alpha.

Public Health England ialah agensi eksekutif Department of Health and Social Care di United Kingdom.

Sementara itu, dua dos vaksin AstraZeneca mempunyai kadar keberkesanan 60 peratus terhadap simptomatik penyakit dari varian Delta, berbanding 66 peratus keberkesanan untuk varian Alpha.

Kedua-dua vaksin didapati mempunyai kadar keberkesanan 33 peratus terhadap simptomatik varian Dekta, tiga minggu selepas dos pertama diberi, berbanding sekitar 50 peratus keberkesanan menentang varian Alpha.

"Ketika ini, kita hanya ada data awal yang dterbitkan untuk vaksin AstraZeneca dan Pfizer, tetapi kita tak tahu data untuk vaksin lain," kata Dr Lokman Hakim sambil menekankan meskipun sesetengah vaksin mungkin menunjukkan kadar keberkesanan yang rendah, vaksin berkenaan secara umumnya masih berkesan sebagai alat perlindungan intervensi kesihatan awam untuk mencegah jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, WHO menganggap sebarang vaksin dengan kadar keberkesanan sekurang-kurangnya 50 peratus sebagai cukup baik untuk intervensi kesihatan awam.

Delta (B.1.617.2, India) satu daripada empat varian of concern (VOC) COVID-19 yang dipantau pada peringkat global.

Varian lain ialah Alpha (B.1.1.7, UK), Beta (B.1.351, Afrika Selatan) dan Gamma (P.1, Brazil).

Varian terkini COVID-19 yang diketengahkan oleh WHO ialah Lambda (C.37), yang pertama kali muncul di Peru pada Ogos 2020.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam ciapan pada 5 Julai menyatakan, varian Lambda dikesan di lebih 30 negara dan "lebih ganas daripada Delta."

Petugas mengebumi jenazah mangsa COVID-19 di Bogor. Indonesia merekodkan penularan varian Delta. - Foto AFP
Petugas mengebumi jenazah mangsa COVID-19 di Bogor. Indonesia merekodkan penularan varian Delta. - Foto AFP

Mengulas tentang varian Delta, Dr Lokman Hakim berkata, ia dikaitkan dengan gelombang ganas COVID-19 di India pada April dan Mei tahun ini apabila negara itu melaporkan lebih daripada 400,000 kes harian baharu.

Varian ini juga dikaitkan dengan kemunculan jangkitan coronavirus itu di United Kingdom, Nepal and negara Asia Tenggara yang lain.

Bagaimanapun, tambah beliau, secara epidemiologi, sukar untuk memastikan secara tepat peranan varian ini memandangkan terdapat faktor lain yang mengelirukan, seperti perhimpunan serta aktiviti beramai-ramai, untuk kemunculan kes COVID-19 di negara berkenaan.

"Varian Delta dikatakan 60 peratus lebih mudah berjangkit berbanding varian Alpha yang pertama kali dikesan di UK pada penghujung tahun 2020," katanya.

Beliau menyatakan, perkara paling dibimbangkan dengan varian Delta ialah ia paling ganas, berbanding varian yang muncul.

"Ini bermakna, varian Delta mudah menyebabkan jangkitan sekiranya varian itu dapat melekat kepada hos baharu. Mereka yang mudah terdedah kepada penyakit, mudah juga menjadi sakit dan menderita jangkitan yang teruk serta mungkin maut kerananya," katanya, sambil menambah, varian Delta mungkin boleh menyebabkan jangkitan meskipun mengamalkan peraturan penjarakan satu meter dan tanpa bersembang dekat lebih daripada 15 minit.

"Anda mungkin memakai pelitup muka tetapi dalam keadaan tertutup dengan pengudaraan yang lemah, anda mungkin tidak dapat melindungi mata anda kerana zarah virus yang terampai mungkin boleh masuk ke dalam badan anda menerusi konjunktiva mata.

"Dalam persekitaran kecil yang tertutup seperti tandas atau bilik mesyuarat yang kecil, dengan pengudaraan yang lemah, virus mungkin terampai di udara untuk jangka masa yang panjang, yang meningkatkan jangkitan. Memandangkan varian ini mudah menjangkiti orang, risiko untuk anda dijangkiti juga tinggi," jelasnya.

Ditanya bagaimana orang ramai boleh melindungi diri mereka daripada varian baharu itu, Dr Lokman Hakim berkata, daripada perspektif kesihatan awam, orang ramai mesti terus berjaga-jaga untuk melindungi diri mereka dengan memakai pelitup muka, mengelakkan diri daripada tempat yang sesak serta bilik yang lemah pengudaraannya.

"Mereka juga perlu segera mengambil vaksin. Kerajaan mengambil langkah terbaik dengan melaksanakan program vaksinasi secepat mungkin sebelum varian baharu boleh mencetuskan masalah yang teruk, " tambahnya. – BERNAMA

Berita Harian X