Ahad, 11 Julai 2021 | 10:03am

Kebolehjangkitan COVID-19 meningkat 3 hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 semalam, direkodkan pada bacaan 1.13, meningkat dalam tempoh tiga hari berturut-turut, sejak Khamis lalu.

Dalam hantaran di Facebook, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi data yang trend peningkatan Rt melepasi kadar 1.00 direkodkan sejak 28 Jun lalu, dengan kali terakhir kadar Rt berada di bawah 1.00 pada 27 Jun lalu, iaitu 0.99.

Data dikongsikan itu menunjukkan kadar berkenaan dilihat melepasi bacaan 0.95 yang ditetapkan pada graf jangkaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, manakala purata kes mingguan pula dilihat menghampiri paras 8,000.

Angka itu berdasarkan statistik kes jangkitan COVID-19 bagi tempoh 11 Jun lalu hingga semalam.

Berdasarkan data itu, kawasan dan negeri mencatatkan nilai Rt melebihi daripada nilai kebangsaan adalah Putrajaya yang merekodkan 1.2, diikuti Kuala Lumpur (1.18); Selangor dan Melaka (1.17) serta Kedah (1.14).

Sementara itu, antara negeri mencatatkan bacaan kurang daripada 1.0 ialah Sarawak iaitu 0.87, diikuti Labuan (0.9); Kelantan (0.94) dan Perlis (0.96).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu jumlah ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam hantaran berbeza mendoakan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor supaya tabah dan cekal berdepan lonjakan kes COVID-19.

Ia berikutan situasi semasa di HTAR yang berdepan peningkatan mendadak kes COVID-19, sekali gus menyebabkan beberapa kawasannya diubah fungsi menjadi wad sementara COVID-19.

"Alhamdulillah, semoga semua petugas kesihatan tabah dan cekalkan hati melaksanakan tugas dengan baik dan insya-Allah dipermudahkan. Anda semua adalah insan terpilih dan benteng pertahanan terakhir negara," katanya.

Antara kawasan berkenaan ialah asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian yang mula menerima pesakit COVID-19 bermula jam 8 malam kelmarin.

Dr Noor Hisham berkongsi gambar menunjukkan wad sementara COVID-19 diwujudkan di HTAR, Klang susulan peningkatan mendadak kes jangkitan. - Foto FB Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham berkongsi gambar menunjukkan wad sementara COVID-19 diwujudkan di HTAR, Klang susulan peningkatan mendadak kes jangkitan. - Foto FB Dr Noor Hisham Abdullah

Berita Harian X