Sabtu, 10 Julai 2021 | 10:41pm
Petugas barisan hadapan melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, Kelantan - Foto BERNAMA
Petugas barisan hadapan melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, Kelantan - Foto BERNAMA

COVID-19: Bantuan negeri atasi situasi kritikal di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan bantuan sokongan, terutama peralatan dan petugas kesihatan dari beberapa negeri yang sudah memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membantu situasi kritikal hospital di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bantuan itu penting memandangkan kebanyakan petugas barisan hadapan bekerja keras tanpa henti dalam tempoh yang amat panjang sejak tahun lalu.

"Kita lihat ada perkembangan baik, negeri yang memasuki fasa kedua kita gerakkan 'frontliner' contohnya di Perak dan Kelantan untuk datang bantu di Lembah Klang.

"Melalu cara ini petugas kesihatan mendapat peluang untuk berehat dan sebagainya," katanya ketika diundang sebagai panel program The Nation bertajuk 'COVID-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita' yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV malam ini.

Dr Noor Hisham turut mengakui, peningkatan kes secara mendadak menyebabkan tekanan yang tinggi dalam kalangan petugas kesihatan awam.

"Kita dapati apabila kekurangan alat bantuan pernafasan dalam satu masa ketika kes banyak, ini menjadikan 'moral distress' kepada petugas kesihatan.

"Mereka sudah bangkitkan perkara ini dan kita juga sedaya upaya bantu petugas kesihatan dengan memberikan kaunseling dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan masyarakat juga mengalami kelesuan mental dan fizikal, sekali gus memerlukan strategi bagi menangani COVID-19 diubah.

"Strategi yang kita pakai ialah dua serampang iaitu kaedah kesihatan awam, tetapi dalam jangka masa pendek untuk tempoh dua minggu bagi memberi ruang kepada perkhidmatan kesihatan melihat kepada peralatan, beri masa kepada kes yang dimasukkan ke hospital dan mengurangkan jangkitan.

"Kedua, 'back up' kita adalah vaksinasi. Kalau kita boleh pertingkatkan vaksinasi, ia boleh mengurangkan kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar kematian," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sekurang-kurangnya negara perlu mencapai 50 peratus kadar vaksinasi bagi mengawal jumlah jangkitan harian COVID-19.

"Sepertimana trend di United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara lain, apabila pencapaian vaksinasi melebihi 50 peratus kes kematian dan kemasukan ke hospital turut berkurangan.

"Jangkitan (jika ada) pun tidak membawa maut dan dengan cara ini kita boleh mengawal jangkitan COVID-19 dalam negara," katanya.

Berita Harian X