X
Jumaat, 9 Julai 2021 | 3:04pm
Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada ketua masyarakat untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Batang Sadong di Gedong, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada ketua masyarakat untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Batang Sadong di Gedong, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI

MOTAC tawar fasiliti jadi PPV

SAMARAHAN: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menawarkan fasiliti milik jabatan dan agensinya untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi meningkatkan kapasiti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata langkah itu bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat divaksin dengan segera seterusnya membolehkan MOTAC menjayakan Program COVID-19 Free Destination dengan lebih meluas.

Beliau berkata, fasiliti terbabit antaranya Kompleks Kraf dan Hotel Seri Malaysia yang berada di beberapa negeri.

"Selain itu, MOTAC juga menawarkan PPV di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, Pusat Konvensyen Setia Spice dan Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena di Pulau Pinang.

"Fasiliti lain yang ditawarkan ialah Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Sarawak, Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah dan Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan 'Bakul Makanan' Parlimen Batang Sadong untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Anjung Usahawan Gedong, di sini, hari ini.

Selain kemudahan tempat, beliau berkata MOTAC juga menyediakan bantuan kakitangan kalangan pihak industri untuk menjadi sukarelawan melalui platform MyVAC yang akan membantu melancarkan proses vaksinasi.

Beliau berkata, bagi menjayakan Program COVID-19 Free Destination itu, MOTAC bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk melaksanakan pemberian suntikan vaksin secara berfasa bermula dengan 30,530 tenaga kerja kepada beberapa sub-sektor perkhidmatan pelancongan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

"Pulau Langkawi dipilih sebagai destinasi rintis program itu yang akan dilancarkan 17 Julai ini dan selepas itu kita turut mencadangkan untuk dilaksanakan di Kuching.

"Pemilihan bandar raya Kuching adalah atas permintaan Sarawak yang komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi MOTAC dan ia amatlah bersesuaian serta tepat pada masanya kerana kita baru sahaja mengemukakan permohonan secara rasmi kepada UNESCO pada 29 Jun 2021 untuk mengangkat Kuching sebagai satu jaringan bandar raya kreatif di bawah kategori Gastronomi," katanya.

Program COVID-19 Free Destination katanya, antara usaha dalam Pelan Pemulihan Pelancongan bagi memberi nafas baru kepada industri itu yang berdepan kerugian yang lebih teruk tahun ini berbanding 2020.

"Tahun lalu, kita mengharapkan segmen pelancongan domestik dapat mengisi atau mengurangkan impak negatif akibat ketiadaan pelancong antarabangsa, namun pelaksanaan PKP dan kemudiannya sekatan pergerakan penuh membantutkan usaha untuk menghidupkan kembali industri ini," katanya.

Mengenai program 'Bakul Makanan Parlimen Batang Sadong di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), beliau berkata seramai 4,800 isi rumah terdiri daripada golongan fakir miskin, asnaf dan penerima E-Kasih akan menerimanya.

"Jumlah penerima masing-masing 1,600 orang bagi setiap DUN dalam Parlimen Batang Sadong iaitu DUN Gedong, DUN Simunjan dan DUN Sadong Jaya.

"Selain itu, kami juga menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan," katanya.

Berita Harian X