Khamis, 8 Julai 2021 | 7:32pm
Warga asing melakukan jual beli secara terbuka dalam kawasan PKPD di perumahan dan asrama pekerja kilang di Meru, Klang, hari ini. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN.
Warga asing melakukan jual beli secara terbuka dalam kawasan PKPD di perumahan dan asrama pekerja kilang di Meru, Klang, hari ini. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN.

56 premis diarah tutup semalam

PUTRAJAYA: Agensi penguat kuasa mengarahkan 56 premis ditutup kerana gagal mematuhi prosedur oeprasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pemantauan dan penguatkuasaan SOP di sektor perkilangan dan premis perniagaan dibuat, selepas kerajaan mendapati terlalu banyak pelanggaran arahan.

"Kerajaan mempertingkat penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan terhadap kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.

"Semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan sebanyak 90,303 pemeriksaan dan 'snap check' (pemeriksaan mengejut) COVID-19 di seluruh negara dengan 20,413 anggota.

"Ini termasuk pemeriksaan terhadap sebanyak 2,859 kilang; 16,743 premis perniagaan; 907 tapak pembinaan dan 394 asrama penempatan pekerja," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Petugas di PPV Klinik Kesihatan Sungai Bertek, Klang membantu warga emas berkerusi roda menerima vaksin COVID-19. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Petugas di PPV Klinik Kesihatan Sungai Bertek, Klang membantu warga emas berkerusi roda menerima vaksin COVID-19. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Ismail Sabri berkata, operasi pematuhan semalam juga menahan seramai 556 individu membabitkan kesalahan ingkar SOP.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 523 individu dikenakan kompaun, 32 ditahan reman, manakala seorang lagi dijamin.

Katanya, antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran; makan atau minum di premis (168); tiada penjarakan fizikal (82); tidak memakai pelitup muka (80); membawa penumpang berlebihan (63); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (53); individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (52); premis gagal patuhi arahan (sembilan) dan kesalahan lain (49).

"Operasi semalam membabitkan 4,536 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 20,413 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP.

"Pada masa sama, Operasi BENTENG (Op BENTENG) yang dijalankan semalam merampas enam kenderaan darat dan dua bot atau kapal, manakala sebanyak 10 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

"Op BENTENG yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 1,176 sekatan jalan raya semalam," katanya.

Berita Harian X