X
Khamis, 8 Julai 2021 | 11:16am
Situasi politik semasa menjadikan penentuan tahap sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri sukar dilakukan di luar Dewan Rakyat. - Foto hiasan
Situasi politik semasa menjadikan penentuan tahap sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri sukar dilakukan di luar Dewan Rakyat. - Foto hiasan

Teliti dulu penarikan sokongan UMNO sebelum desak letak jawatan

KUALA LUMPUR: Beberapa faktor perlu diteliti terlebih dahulu dengan penarikan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti diumumkan, malam tadi.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata pertamanya, adakah pengisytiharan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi benar-benar mewakili keseluruhan Ahli Parlimen UMNO, atau mewakili sebahagian sahaja atau hanya mewakili dirinya sendiri.

Katanya, bagi mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri atau pengerusi agensi kerajaan, pembatalan sokongan perlu ditunjukkan melalui perletakan jawatan.

"Jika pembatalan sokongan hanya membabitkan sebahagian sahaja, maka perlu ditentukan adakah jumlah yang membatalkan sokongan itu cukup untuk menjadikan Perdana Menteri hilang sokongan majoriti.

"Dalam situasi politik yang serba tidak menentu ini, perlu juga dilihat kemungkinan ahli Parlimen yang dahulunya berada di blok pembangkang, tetapi kini ingin beralih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

"Ringkasnya, situasi politik semasa menjadikan penentuan tahap sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri sukar dilakukan di luar Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Muhammad Fathi berkata, kaedah yang paling tepat ialah dengan mengadakan satu usul dan undian khas bagi mengukur tahap sokongan Perdana Menteri sedia ada dalam Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai nanti.

Katanya faktor kedua yang perlu dilihat ialah soal pengganti kerana pada satu-satu masa, perlu ada kerajaan yang mentadbir.

"Jika seorang Perdana Menteri hilang sokongan, penggantinya perlu segera dilantik. Pengganti berkenaan perlulah mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat," katanya.

Buat masa ini, jelas beliau belum nampak seorang tokoh yang benar-benar memenuhi kriteria berkenaan.

"Namun, terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan berkenaan soal ini kerana pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) adalah termasuk dalam kuasa budi bicara Tuanku," katanya.

Faktor ketiga, menurutnya situasi wabak COVID- 19, yang mana perlu diambil kira sebelum sesuatu tindakan diambil.

"Dalam situasi biasa, krisis politik begini boleh dirungkaikan melalui pilihan raya bagi membolehkan rakyat menubuhkan kerajaan baharu, namun seperti mana yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sabah menyebabkan berlaku lonjakan besar kes COVID-19.

"Oleh itu, adalah diharapkan agar krisis yang sedang berlaku kini tidaklah menyebabkan berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kerana ia membawa risiko pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran berlaku," katanya.

Beliau mencadangkan, langkah yang berbeza boleh perlu diambil bagi memastikan wujud kestabilan politik bagi membolehkan negara memberikan fokus kepada usaha pemulihan dalam mendepani wabak COVID-19.

"Situasi semasa negara yang berada dalam tempoh darurat boleh dimanfaatkan untuk mengelakkan berlaku pilihan raya umum terlalu awal.

"Pilihan raya umum wajar dilaksanakan selepas negara melepasi Fasa ke-4 Pelan Pemulihan Negara, atau sekurang-kurangnya selepas Fasa ke-3, bagi memastikan mengurangkan risiko peningkatan kes di luar kawalan akibat kempen pilihan raya.

"Buat masa ini, kerajaan dan ahli politik perlu mengambil langkah berhati-hati agar sebarang kemelut politik dapat dirungkaikan dengan bijak dan selamat," katanya.

Berita Harian X