Selasa, 6 Julai 2021 | 4:01pm

Jangkitan baharu COVID-19 lonjak lebih 7,000 kes hari ini

PUTRAJAYA: Kes positif harian COVID-19 di negara ini sekali lagi melepasi paras 7,000 apabila sebanyak 7,654 kes positif baharu dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hingga kini jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 792,693 kes.

Beliau berkata, Selangor terus mencatatkan kes positif tertinggi iaitu sebanyak 3,260. Ia disusuli Kuala Lumpur dengan 1,550 kes positif; dan Negeri Sembilan dengan 698 kes.

Ia disusuli Kuala Lumpur dengan 1,550 kes positif, tertinggi di wilayah itu setakat ini dan Negeri Sembilan dengan 698 kes.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini kes aktif adalah sebanyak 72,201.

Beliau berkata, sebanyak 7,643 daripada kes dilaporkan hari ini adalah penularan tempatan membabitkan 5,486 warganegara dan 2,157 bukan warganegara.

"Sebanyak 11 kes import juga direkodkan iaitu lima rakyat tempatan dan enam warga asing.

"Seramai 943 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini dengan 450 kes memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut merekodkan sebanyak 103 kematian hari ini iaitu seramai 94 warganegara dan sembilan lagi rakyat asing, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian membabitkan jangkitan COVID-19 kini mencecah 5,677 kes atau 0.72 peratus daripada keseluruhan kes dilaporkan di Malaysia setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 43 kes kematian dilaporkan di Selangor; disusuli Kuala Lumpur (18); Negeri Sembilan (12); Johor (sembilan); Kelantan (enam); Pahang (empat); Melaka (tiga); masing-masing dua kes di Sarawak dan Kedah; serta masing-masing satu kes di Sabah, Perak, Labuan, dan Pulau Pinang.

Pada masa sama, sebanyak 4,797 kes sudah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini pada 714,815 kes (90.2 peratus).

Beliau berkata, KKM turut melaporkan sebanyak 21 kluster baharu dikesan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster jangkitan COVID-19 kini mencecah 2,952 dengan 2,100 kluster sudah ditamatkan dan 852 lagi masih aktif.

Individu yang disahkan positif COVID-19 beratur panjang bagi menghadiri penilaian KKM di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam, pagi tadi. - NSTP/FAIZ ANUAR
Individu yang disahkan positif COVID-19 beratur panjang bagi menghadiri penilaian KKM di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam, pagi tadi. - NSTP/FAIZ ANUAR
Berita Harian X