Isnin, 5 Julai 2021 | 10:25am
Foto FB Noor Hisham Abdullah
Foto FB Noor Hisham Abdullah

Dua negeri catat nilai kebolehjangkitan tertinggi

PUTRAJAYA: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di seluruh negara menunjukkan sedikit penurunan iaitu kini berada di paras 1.06 berbanding semalam dengan nilai 1.07.

Menurut data yang dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam, bagi pecahan mengikut negeri pula, dua negeri mencatatkan paras Rt dengan nilai sama iaitu 1.17 yang direkodkan di Pahang dan Putrajaya.

Data berkenaan turut menunjukkan nilai Rt di Putrajaya sedikit meningkat, berbanding kelmarin iaitu sekitar 1.06 manakala di Pahang pula ia menunjukkan penurunan iaitu 1.24.

Bagaimanapun, nilai Rt di kedua-dua negeri dan wilayah itu tetap yang tertinggi berbanding negeri lain serta melebihi nilai Rt di seluruh negara.

"Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 4 Julai untuk seluruh negara adalah 1.06. Negeri lain yang mencatatkan nilai Rt lebih 1.0 ialah Melaka (1.12); Selangor (1.08); Kuala Lumpur (1.06); Kedah (1.05); Terengganu (1.04) dan Sabah (1.02).

"Negeri yang mencatatkan nilai Rt bawah 1.0 pula ialah Negeri Sembilan (0.97); masing-masing 0.91 di Johor dan Labuan; Sarawak (0.90); Terengganu (0.88) dan Kelantan (0.82)," katanya dalam Twitter, semalam.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai Rt, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bermaksud satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Berita Harian X