Ahad, 4 Julai 2021 | 1:01pm
Hanya 40 peratus penjawat awam dibenarkan bekerja di pejabat manakala 60 peratus lagi BDR apabila operasi pejabat kerajaan di lima negeri beroperasi secara hibrid mulai esok. FOTO NSTP
Hanya 40 peratus penjawat awam dibenarkan bekerja di pejabat manakala 60 peratus lagi BDR apabila operasi pejabat kerajaan di lima negeri beroperasi secara hibrid mulai esok. FOTO NSTP

Operasi pejabat kerajaan di 5 negeri secara hibrid

PUTRAJAYA: Operasi pejabat kerajaan di negeri berada di Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan secara hibrid dengan sebahagian penjawat awam bekerja di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR).

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata kehadiran kakitangan kerajaan di pejabat tidak melebihi 40 peratus manakala 60 peratus lagi BDR secara bergilir.

"Bagi kehadiran ke pejabat, ia perlu disertai dokumen arahan rasmi dan pas pekerja. Kehadiran pekerja di pejabat dan BDR tidak termasuk perkhidmatan barisan hadapan seperti keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis akan beralih ke fasa kedua PPN bermula esok.

Peralihan fasa itu selepas negeri berkenaan memenuhi tiga nilai ambang ditetapkan iaitu kes harian terbaru, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.

Mohd Zuki turut berkata, semua mesyuarat dan perbincangan perlu dilaksanakan secara dalam talian melalui medium selamat dan terjamin kerahsiaan.

"Penjawat awam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (KSN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). Arahan ini terpakai di negeri beralih ke fasa kedua PPN," katanya.

Berita Harian X