Sabtu, 3 Julai 2021 | 3:34pm

COVID-19: 6,658 kes baharu, Selangor lebih 3,000 kes

PUTRAJAYA: Selangor merekodkan 3,047 kes baharu COVID-19, hampir separuh daripada 6,658 kes yang dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.

Kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 772,607 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, Negeri Sembilan merekodkan kes kedua tertinggi dengan 699 kes, diikuti Kuala Lumpur (616), diikuti Johor 414 kes.

Hanya Perlis mencatatkan kes satu angka iaitu sebanyak dua kes dilaporkan setakat tengah hari tadi, manakala Putrajaya dan Terengganu serta Kelantan masing-masing mencatatkan dua angka iaitu 16, 51 dan 89 kes.

Beliau berkata, daripada 6,658 kes berkenaan, sebanyak 6,647 kes membabitkan jangkitan tempatan.

Katanya, ketika ini, sebanyak 66,958 kes masih aktif.

"Sebanyak 892 pesakit menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 443 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

"KKM juga melaporkan sebanyak 107 kes kematian membabitkan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kes kematian keseluruhan yang direkodkan setakat ini adalah 5,434 atau 0.70 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 5,677 pesakit sembuh sepenuhnya juga dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah pulih dan dibenarkan pulang adalah 700,215 atau 90.63 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini.

Sementara itu, sebanyak 19 kluster jangkitan COVID-19 dikesan hari ini, dengan 16 daripadanya adalah di tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu di pusat tahanan.

Dua kluster komuniti dikesan membabitkan aktiviti ziarah iaitu Kluster Dah Mata Ayer di Langkawi, Kedah dan Kluster Kampung Jaya Setia Badang di Kota Bharu, Kelantan.

Kluster Dah Mata Ayer dengan kes indeks seorang wanita tempatan berusia 44 tahun yang dilaporkan positif pada 26 Jun lalu hasil saringan bergejala, kini sudah menjangkiti 25 individu.

Bagi Kluster Kampung Jaya Setia Badang pula, kes indeks adalah seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang juga dilaporkan positif pada 26 Jun lalu dan sehingga hari ini, kluster itu sudah menjangkiti seramai 13 individu.

Sehingga kini, sebanyak 2,901 kluster jangkitan COVID-19 dilaporkan di negara ini, dengan 2,030 daripadanya sudah ditamatkan dan 871 lagi masih aktif.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, ketika ini, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara setakat semalam adalah 1.07 manakala Pahang mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.27.

Negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Putrajaya (1.13), Selangor (1.07), Pulau Pinang (1.07), Melaka (1.07), Kuala Lumpur (1.03), Kedah (1.03), dan Perak (1.0).

Penduduk di Kuantan menjalani saringan COVID-19 di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Penduduk di Kuantan menjalani saringan COVID-19 di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X