Jumaat, 2 Julai 2021 | 11:29am

Kadar inokulasi kedua tertinggi semalam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 263,012 dos vaksin diberikan kepada penerima di seluruh negara, semalam, sekali gus menjadi kadar inokulasi kedua tertinggi yang pernah dicatatkan di negara ini.

Kadar inokulasi atau suntikan vaksin yang tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh 24 jam ialah pada 24 Jun lalu, iaitu 268,604 dos.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) memaklumkan sebanyak 178,148 dos pertama vaksin diberikan kepada penerima semalam, manakala 84,864 suntikan bagi dos kedua.

Berdasarkan perangkaan keseluruhan, prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memasuki bulan kelima, sejak dilaksanakan Februari lalu turut menyaksikan seramai 2,393,882 orang atau 7.3 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia sudah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin.

"Setakat semalam, sebanyak 8,346,697 dos vaksin diagihkan dan 5,952,815 atau 18.2 peratus ialah dos pertama," katanya menerusi infografik yang dimuat naik di Twitter, hari ini.

Sekiranya meneliti petunjuk digariskan Pelan Pemulihan Negara, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sudah mencapai satu daripada tiga prasyarat untuk beralih ke fasa kedua.

Hal itu kerana liputan vaksin lengkap dua dos di Perlis setakat semalam mencecah 16.3 peratus, Kuala Lumpur (11.8 peratus), Putrajaya (25.4 peratus) dan Labuan (16.4 peratus).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam dilaporkan berkata peralihan di antara fasa dalam Pelan Pemulihan Negara akan dibuat mengikut pencapaian di peringkat negeri dalam memenuhi setiap petunjuk yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara, peralihan daripada fasa satu kepada fasa kedua perlu mencapai nilai ambang tiga petunjuk, iaitu jangkitan harian kurang 4,000 kes, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan liputan vaksin bagi populasi yang menerima dos lengkap ialah 10 peratus.

Berita Harian X