Khamis, 1 Julai 2021 | 4:09pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Mogok doktor kontrak 26 Julai, jika tuntutan tak dipenuhi

KUALA LUMPUR: Doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan mogok pada 26 Julai ini jika dua tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh ditetapkan.

Hartal Doktor Kontrak berkata, tindakan drastik itu akan diambil sekiranya kerajaan tidak memenuhi tuntutan berkenaan dan tidak ada hitam putih mengenainya dalam tempoh tiga minggu ini.

Jurucakapnya, Dr Mustapha Kamal A Aziz, berkata pihaknya menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.

"Sejak 2016, seramai 786 pegawai perubatan saja dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

"Jika mengikut unjuran diberikan dalam maklum balas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hanya 3.4 peratus diambil secara tetap dan pelantikan akhir untuk jawatan tetap adalah pada sesi Kohort Lantikan 2 tahun 2017," katanya pada sidang media secara maya, di sini, hari ini.

Semalam, Dr Adham memaklumkan pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet berhubung isu doktor kontrak, antaranya memperincikan supaya skim perkhidmatan kontrak dalam Kementerian Kesihatan (KKM) lebih bermanfaat.

Beliau berkata, memorandum berkenaan sudah dihantar ke beberapa pihak berkaitan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha KKM, Ketua Pengarah KKM dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Bagi kami, pihak ini yang patut membincangkan hala tuju dan nasib doktor kontrak yang akan tamat kontrak pada Disember ini.

"Permasalahan ini sudah berlanjutan selama lima tahun sejak 2016, ia tergendala disebabkan berlaku beberapa kali peralihan kuasa (dalam kerajaan) yang menyebabkan perbincangan semula.

"Sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab kerana ini adalah masalah nasional dan mengapa tidak ada pelan jangka panjang dan pendek, bahkan terlalu lama bincang tetapi masih tidak ada keputusan," katanya.

Dr Mustapha Kamal berkata, buat masa ini mereka merancang mengadakan mogok pada 26 Julai saja, namun perkara itu akan dibincangkan semula bergantung kepada jawapan balas kerajaan.

"Jika mereka tidak menjawab (tuntutan) segera, kami akan meneruskan mogok ini sehingga ia dipenuhi.

"Kami mempunyai sokongan majoriti kumpulan doktor perubatan dan ini mengenai masa depan sistem kesihatan negara, bukan disebabkan wang atau publisiti.

"Bayangkan beberapa tahun akan datang, jika doktor tidak mencukupi, pesakit yang memerlukan rawatan segera terpaksa menunggu lama, selain kemungkinan doktor kontrak akan meninggalkan sektor awam untuk bekerja dengan swasta," katanya.

Menjawab persoalan implikasi kepada sistem kesihatan awam jika mogok berkenaan diteruskan, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan operasi di hospital.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dengan doktor perubatan, doktor pakar dan doktor pelatih di hospital yang sudah menyatakan kesediaan mengambil alih tugasan mereka.

Berita Harian X