Rabu, 30 Jun 2021 | 11:36pm

Kadar kebolehjangkitan meningkat

KUALA LUMPUR : Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian untuk seluruh negara terus menunjukkan trend peningkatan, hari ini berada pada tahap 1.05, naik berbanding 1.04 direkodkan semalam.

Trend peningkatan ini disaksikan sejak kelmarin yang merekodkan tahap Rt 1.0.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di akaun Twitternya menunjukkan, Pahang merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.19, diikuti Putrajaya dan Melaka, masing pada tahap 1.09.

Selangor yang merekodkan kes positif COVID-19 harian tertinggi di seluruh negara, berada pada tahap 1.05, sementara Kuala Lumpur (1.07), Perak (1.08), Negeri Sembilan (1.06), Kedah (0.97), Wilayah Persekutuan Labuan (0.96) dan Sabah, 0.94.

Tahap 0.92 dicatatkan di Johor dan Pulau Pinang, sementara Sarawak (0.91), Perlis (0.84), Kelantan (0.81) dan terendah di Terengganu iaitu 0.67.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Berita Harian X