Rabu, 30 Jun 2021 | 2:27pm
Foto hiasan
Foto hiasan

KPDNHEP jalin kerjasama pastikan harga minyak masak terkawal

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain dalam melaksanakan Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak masak mentah (CPO).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggim, berkata jalinan kerjasama itu bagi memastikan harga minyak masak 5 kilogram (kg) tidak melebihi RM30.

Katanya, selain itu pihaknya turut menyambut baik peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dalam pek polibeg 1kg terjamin dan dapat dibeli dengan harga subsidi RM2.50.

"Terima kasih kepada kerajaan atas kesudian menerima cadangan kementerian ini mengenai mekanisme pengurusan harga minyak masak tidak bersubsidi.

"KPDNHEP juga menghargai keprihatinan kerajaan yang komited membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dengan meneruskan dasar pengawalan harga barangan perlu.

"Antaranya pengekalan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang melibatkan subsidi melebihi RM 6 bilion ringgit setahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, kementeriannya akan meneruskan dasar kawalan dan harga barang keperluan serta meningkatkan penguatkuasaan sedia ada yang ternyata berkesan seperti yang terbukti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa sebarang insiden terputusnya bekalan barang keperluan.

Sementara itu, mengenai pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu, Alexander berkata, kementeriannya menyokong sepenuhnya agenda yang dilaksanakan.

"Pakej Bantuan kali ini lebih menyeluruh yang tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

"Kementerian menyokong sepenuhnya Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan RM100 juta bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meningkatkan agenda digitalisasi negara," katanya.

Bagi program vaksinasi, Alexander berkata, kementeriannya sudah memulakan program imunisasi khusus untuk barisan hadapan ekonomi supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila semua yang terbabit sudah menjalani imunisasi sepenuhnya.

Katanya, secara keseluruhan Pakej PEMULIH ini dilihat sebagai seimbang dan bertepatan dengan situasi semasa serta dapat menjamin negara menang dalam memerangi pandemik COVID-19 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

Berita Harian X