Rabu, 30 Jun 2021 | 2:26pm

Tiada kenaikan yuran pengajian semester IPT

NILAI: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengesahkan tiada kenaikan yuran pengajian semester bagi institut pengajian tinggi (IPT) pada tahun ini, malah caj lain kepada penuntut juga tidak dikenakan berikutan mereka belajar secara dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata penuntut tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti, menyebabkan tiada caj aktiviti dikenakan seperti sebelum ini.

"KPT sudah meminta universiti tidak mengenakan caj kepada pelajar, walaupun perkara itu bergantung kepada universiti kerana mereka mempunyai kuasa autonomi masing-masing.

"Jadi, setakat ini yuran tidak naik dan perkara babitkan aktiviti juga tidak dicaj oleh universiti, " katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPA) Mega IPT, di Dewan Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pendaftar USIM, Datuk Muhammad Haizuan Rozali dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

Noraini meninjau proses pengisian maklumat oleh orang awam sebelum menerima vaksin COVID-19 di PPV IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM hari ini. - Foto BERNAMA
Noraini meninjau proses pengisian maklumat oleh orang awam sebelum menerima vaksin COVID-19 di PPV IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM hari ini. - Foto BERNAMA

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dilaporkan berkata, KPT sedang mengkaji isu berkaitan yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Mohamed berkata, kos pengajian penuntut IPT kini tidak tinggi kerana mereka tidak menggunakan asrama, fasiliti sukan, makmal dan bilik kuliah serta sebagainya.

"Isu yuran sedang kami kaji, akan ada berita gembira. Kami juga faham mereka ada tanggungjawab lain dan keluarga mereka terjejas akibat COVID-19," katanya.

Pada 27 Mei lalu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dilaporkan meminta KPT mengkaji yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat COVID-19.

MPPK berkata, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 80 peratus penuntut sudah kembali ke rumah masing-masing dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, sebelum ini penuntut berada di universiti dan menggunakan segala kemudahan seperti penginapan dan dikenakan caj serta yuran lain.

"Sesetengah universiti memberi diskaun terhadap perkhidmatan disediakan seperti sebelum ini, tetapi apabila penuntut tidak balik ke kampus, jadi tiada caj dikenakan," katanya.

Noraini (kiri) ketika meninjau PPV IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM hari ini. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Noraini (kiri) ketika meninjau PPV IPT Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM hari ini. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X