Rabu, 30 Jun 2021 | 11:58am

Lebih 7.8 juta dos vaksin sudah diberikan

KUALA LUMPUR: Kadar pemberian vaksin COVID-19 harian kembali mencatat lebih 200,000 dos semalam, dengan hampir tujuh peratus daripada populasi negara sudah menerima dua dos lengkap vaksin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebanyak 231,733 dos vaksin diberikan di seluruh negara semalam, menjadikan lebih 7.8 juta dos vaksin COVID-19 sudah diagihkan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, daripada jumlah itu, lebih 5.6 juta individu atau 17.2 peratus daripada populasi negara sudah menerima dos pertama, manakala lebih 2.2 juta atau hampir tujuh peratus menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19.

"Jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat semalam ialah 7,824,912 dos, dengan 231,733 dos diberikan semalam.

"Jumlah penerima dos pertama ialah 5,610,911 orang atau 17.2 peratus daripada populasi negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 2,214,001 individu pula sudah menerima dos kedua, yang merangkumi 6.8 peratus daripada populasi negara," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal paling ramai menerima vaksin COVID-19 dengan lebih 988,698 individu atau 55.7 peratus daripada keseluruhan populasi wilayah itu sudah menerima suntikan dos pertama.

Ia disusuli Sarawak (1,03 juta/36.6 peratus), Putrajaya (37,956/34.5 peratus), Labuan (33,467/33.6 peratus), Perlis (66,955/26.3 peratus), Pulau Pinang (287,122/16.2 peratus) dan Negeri Sembilan (177,793/15.8 peratus).

Penduduk Putrajaya pula menjadi penerima dos kedua tertinggi apabila 26,955 individu atau 24.5 peratus daripada keseluruhan populasi wilayah itu sudah menerima suntikan lengkap vaksin COVID-19.

Ia disusuli Labuan (15,240/15.3 peratus), Perlis (38,558/15.1 peratus), Kuala Lumpur (189,124/10.7 peratus), Sarawak (246,259/8.7 peratus), Perak (201,040/ 8.0 peratus) dan Negeri Sembilan (90,734/8.0 peratus).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Berita Harian X