Selasa, 29 Jun 2021 | 5:55pm
Klip video yang antara lain menunjukkan Datuk Mohd Rashid menghadiri ‘kenduri durian', dipercayai di sebuah kebun di Batu Pahat. - Foto IHSAN PEMBACA
Klip video yang antara lain menunjukkan Datuk Mohd Rashid menghadiri ‘kenduri durian', dipercayai di sebuah kebun di Batu Pahat. - Foto IHSAN PEMBACA

Polis siasat 'kenduri durian' dihadiri Timbalan Speaker

BATU PAHAT: Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan.

Ia susulan klip video kenduri durian di sebuah kebun yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya akan memanggil Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu dan pihak terbabit dalam klip video berkenaan bagi membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohd Rashid ketika dihubungi menjelaskan, klip video itu adalah rakaman lama sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Itu video lama. Saya ingat itu (video) tahun lepas sebelum PKP," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Media sosial tular dengan rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan majlis kenduri durian di sebuah kebun dipercayai di Batu Pahat dengan kehadiran Abdul Rashid.

Berita Harian X