Ahad, 27 Jun 2021 | 5:32pm
 Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan

'Selesaikan isu pegawai perubatan kontrak'

SEREMBAN: Kerajaan diharap dapat mencari penyelesaian komprehensif terhadap isu Hartal Doktor Kontrak membabitkan pegawai perubatan kontrak.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu perlu ditangani sebaik mungkin untuk kepentingan mereka dan keperluan perkhidmatan kesihatan negara.

Katanya, ia membabitkan seramai lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan sedangkan mereka sudah menamatkan pengajian dan melakukan 'housemanship' sejak 2016.

"Pelanjutan kontrak mereka sehingga hujung tahun 2022 bukan jalan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka panjang sektor perubatan negara.

"Pandemik COVID-19 ini membuktikan sistem perubatan kita sangat memerlukan kepada peningkatan dan pembaharuan radikal.

"Kita memerlukan lebih banyak hospital, lebih ramai pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti walau di mana juga tanpa mengira kemampuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak dilaporkan dalam media sosial akan melakukan mogok dirancang akhir Julai ini jika kerajaan tidak menyelesaikan isu penempatan tetap mereka.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan, malah diteruskan seperti biasa.

Dr Adham berkata, sejak Disember 2016, pengambilan graduan perubatan dibuat secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa bergantung pada kekosongan tetap yang terhad.

"Kontrak ditawarkan adalah hingga tiga tahun bagi membolehkan graduan perubatan menjalani latihan siswazah dan kemudiannya disambung dua tahun lagi untuk membolehkan mereka melengkapkan khidmat wajib," katanya.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, kerajaan perlu mengemukakan formula terbaik untuk menyerap pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, walaupun lazimnya serapan ke jawatan tetap berlaku apabila ada kekosongan, namun sistem kesihatan negara tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti seperti sebelum ini..

Katanya, jumlah perjawatan diperuntukkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada nisbah dan norma pra-pandemik mungkin tidak sesuai dan memerlukan perubahan.

"Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu merangka dasar dan keperluan guna tenaga lebih strategik serta mapan dalam penjagaan kesihatan utama, kesihatan mental, pembangunan hospital dan prasarana perubatan serta penyelidikan perubatan.

"Tanpa perlu berkompromi dengan mutu dan standard ditetapkan, pengwujudan jawatan tetap yang lebih banyak untuk pegawai perubatan dan pada kadar segera harus menjadi keutamaan nasional," katanya.

Berita Harian X