Ahad, 27 Jun 2021 | 4:09pm
Mogok doktor muda akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam. Foto hiasan BERNAMA
Mogok doktor muda akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam. Foto hiasan BERNAMA

Doktor muda tak wajar mogok

PUTRAJAYA: Mogok atau Hartal Doktor Kontrak pada Khamis ini tidak wajar diteruskan kerana akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan negara.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menangani isu kontrak pegawai perubatan kerajaan, agar perkhidmatan kesihatan negara tidak terus berada dalam keadaan genting.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata penyelesaian status kontrak itu akan memastikan pembangunan kerjaya doktor muda terjamin.

Katanya, sejak sekian lama CUEPACS berpendirian lantikan kontrak dalam kalangan penjawat awam, terutamanya dalam sektor kesihatan ini tidak sepatutnya diamalkan.

"Kami berdiri teguh dan bersolidariti dengan doktor muda ini dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam memperjuang hak pekerjaan mereka untuk mendapat status lantikan tetap.

"CUEPACS bersedia menjadi penghubung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pegawai perubatan muda ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu lantikan secara kontrak doktor muda tidak wajar berpanjangan. - Foto hiasan NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Isu lantikan secara kontrak doktor muda tidak wajar berpanjangan. - Foto hiasan NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Adnan berkata, ketika negara dilanda COVID-19, kepakaran dan khidmat bakti pegawai muda ini sangat diperlukan, namun status kontrak jawatan mereka tidak memberi jaminan kerjaya.

"Dengan kontrak disambung saban tahun, mereka juga menerima gaji, elaun dan cuti yang terhad berbeza dengan doktor tetap.

"Lebih menyedihkan lagi, pegawai perubatan kontrak ini tidak berpeluang menyambung kepakaran mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk bergelar pakar kerana status kontrak berkenaan.

"Disebabkan tiada jaminan dalam pekerjaan dan pembangunan kerjaya, pegawai perubatan muda ini sukar membuat perancangan masa depan kerana perlu menunggu sambungan kontrak," katanya.

Adnan berkata, lantikan kontrak boleh memberi kesan jangka panjang kepada sektor perkhidmatan kesihatan awam negara.

"Sekiranya doktor muda ini melihat tiada sinar masa depan di negara sendiri, mereka akan memilih untuk berkhidmat di luar negara. Selepas negara kekurangan tenaga pakar, barulah kita sedar kesilapan yang dibuat .

"CUEPACS berpendapat tidak wajar sektor keperluan seperti KKM tertakluk dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam. Perkara ini perlu diteliti semula kerana ia keperluan yang amat penting untuk rakyat dan negara," katanya.

Sebelum ini, tanda pagar #HartalDoktorKontrak tular di aplikasi Twitter sebagai tanda sokongan terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak.

Kempen tanda pagar berkenaan turut membuat gerakan supaya pegawai perubatan kontrak untuk melakukan mogok pada Khamis ini.

Berita Harian X