Ahad, 27 Jun 2021 | 12:23pm
Orang ramai hadir untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di Balai Rakyat Padang Tembak, Georgetown. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Orang ramai hadir untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di Balai Rakyat Padang Tembak, Georgetown. - Foto NSTP/MIKAIL ONG

Lebih 5 juta dapat suntikan pertama

PUTRAJAYA: Kapasiti harian pemberian vaksin semalam menunjukkan penurunan sebanyak 187,877 dos berbanding kelmarin dengan kadar tertinggi iaitu 268,604 dos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata daripada jumlah yang menerima suntikan semalam sebanyak 132,279 individu menerima suntikan pertama, manakala 55,598 individu lagi lengkap dos kedua.

Katanya, pertambahan pemberian dos vaksin itu menjadikan jumlah pemberian vaksin setakat ini ialah 7,226,949 dos yang merangkumi 5,204,993 individu menerima suntikan pertama serta 2,021,956 individu lagi bagi dos kedua.

Sementara itu, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang turut dikongsi oleh Dr Adham menunjukkan, semalam Kuala Lumpur menjadi negeri tertinggi merekodkan pemberian vaksin pertama iaitu 61.2 peratus atau 908,820 individu.

Pegawai perubatan memberikan suntikan kepada ibu mengandung di PPV Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pegawai perubatan memberikan suntikan kepada ibu mengandung di PPV Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Ia diikuti Putrajaya dengan 33 peratus bersamaan 36,279 individu; Sarawak sebanyak 919,990 individu (32.7 peratus) dan Perlis sebanyak 63,966 individu (25.1 peratus).

Bagi pemberian vaksin dos kedua, penduduk Putrajaya penerima terbanyak dengan 25,825 individu atau 23.5 pratus disusuli Labuan sebanyak 14,977 (15 peratus); dan Perlis dengan 37,647 individu (14.8 peratus).

Kelmarin, kapasiti harian pemberian vaksin merekodkan kadar tertinggi apabila hampir 270,000 dos diberikan.

Pemberian vaksin harian negara mula melepasi 250,000 buat pertama kali pada Selasa lalu dengan 250,529 dos dan disusuli 252,773 pada Rabu.

Berita Harian X