Sabtu, 26 Jun 2021 | 12:55pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tiga fasa pemulihan pelancongan bantu percepat vaksinasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menggariskan tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan bagi mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara dan seterusnya menjayakan Program COVID-19 Free Destination.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan media, berkata pelan pemulihan itu selari dengan Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, sekali gus akan membolehkan Program COVID-19 Free Destination dilaksanakan dengan segera.

Beliau berkata, fasa pertama pelan pemulihan itu menyaksikan Pulau Langkawi dipilih sebagai destinasi rintis Program COVID-19 Free Destination.

Katanya, usaha kini sedang dilakukan kerajaan bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada penduduk selain menjadikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Tambahan mulai pertengahan Julai ini.

Selain Langkawi katanya, turut dicadangkan sebagai destinasi rintis bagi Program COVID-19 Free Destination ialah Kuching, Sarawak berdasarkan lokasinya yang terkenal dengan kemasukan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.

"Bagi fasa kedua, program ini akan diperluaskan ke pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.

"Perbincangan sudah diadakan bersama Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah berkaitan membabitkan elemen promosi serta usaha meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada penduduk setempat di pulau tersebut.

"Fasa ketiga akan membabitkan sesi libat urus MOTAC dengan semua kerajaan negeri berhubung penentuan destinasi pelancongan utama untuk diketengahkan sebagai lokasi yang akan diberikan perhatian dalam fasa ini selain menentukan fasiliti bersesuaian untuk dijadikan pusat PPV," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Nancy berkata, kerangka holistik Pelan Pemulihan Pelancongan adalah sebahagian inisiatif dilaksanakan MOTAC sebagai pemangkin buat industri pelancongan dan budaya untuk kembali bangkit seterusnya membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

MOTAC katanya, sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam menetapkan sasaran untuk mencapai sebanyak 80 peratus populasi divaksin bagi membentuk imuniti kelompok negara.

"Kita juga meminta seluruh rakyat di negara ini untuk segera mendaftar dan menepati temujanji vaksin bagi mencapai sasaran imuniti kelompok sekali gus membolehkan negara bebas daripada wabak ini," katanya.

Berita Harian X