Sabtu, 26 Jun 2021 | 10:57am
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad

Lebih 7 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kekal mencatat kemajuan memberangsangkan apabila lebih tujuh juta dos vaksin sudah diagihkan setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sejumlah 215,968 dos diberikan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara semalam, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yang sudah diagihkan meningkat kepada 7,039,072 dos.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih lima juta individu sudah menerima dos pertama, manakala hampir dua juta individu pula mendapat dua dos lengkap vaksin COVID-19.

"Jumlah penerima dos pertama mencecah 5,072,714 orang atau 15.5 peratus daripada populasi negara, manakala 1,966,358 individu atau enam peratus sudah menerima dos kedua," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Jumlah itu juga menyaksikan kapasiti harian pemberian vaksin di seluruh negara kekal mencatat lebih 200,000 untuk lima hari berturut-turut, yang membantu memastikan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dapat dipercepatkan.

Kadar pemberian vaksin harian tertinggi dicatatkan semalam adalah 268,604 dos, dengan Malaysia mula melepasi 250,000 buat kali pertama pada Selasa lalu dengan 250,529 dos, disusuli 252,773 pada Rabu dan 268,604 dos semalam.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin semalam memaklumkan kadar penggunaan vaksin berbanding jumlah bekalan yang diterima dari luar negara kini mencecah 90 peratus.

Dalam pada itu, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham menunjukkan, penduduk Kuala Lumpur kekal penerima tertinggi dos pertama vaksin COVID-19.

Sejumlah 884,781 individu 50 peratus daripada keseluruhan penduduk Kuala Lumpur sudah menerima dos pertama, disusuli Putrajaya (36,279/33 peratus), Sarawak (878,626/31.2 peratus), Labuan (30,193/30.3 peratus) dan Perlis (63,504/24.9 peratus).

Penduduk Putrajaya pula adalah penerima tertinggi dos kedua dengan 25,825 atau 23.5 peratus daripada populasi wilayah itu, disusuli Labuan (14,722/14.8 peratus), Perlis (36,866/14.5 peratus) dan Kuala Lumpur (170,594/9.6 peratus).

Berita Harian X