Sabtu, 26 Jun 2021 | 6:53am
PPV mega MIECC di Seri Kembangan antara yang memudahkan orang ramai mengambil vaksin - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli
PPV mega MIECC di Seri Kembangan antara yang memudahkan orang ramai mengambil vaksin - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Petanda positif pelan pemulihan

KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin harian yang melepasi 250,000 suntikan bagi tiga hari berturut-turut adalah petanda positif kepada kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pakar kesihatan komuniti, pengurusan hospital dan kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ia menunjukkan kerajaan peka dengan suara rakyat dan mengambil maklum mengenai saranan pakar.

"Justeru tidak mustahil, sasaran imuniti kelompok berjaya dicapai sekiranya momentum pertambahan pemberian vaksin ini dapat dikekalkan.

"Pada masa sama, kerajaan perlu terus mendapatkan bekalan vaksin bagi memastikan negeri yang berada pada zon merah dan bekerperluan tinggi supaya mendorong ekonomi bangkit," katanya.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) antara indikator penting kepada fasa pemulihan dalam PPN yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sejumlah 268,604 dos diberikan kelmarin, sekali gus menyaksikan kadar pemberian vaksin mencatat lebih 250,000 dos untuk tiga hari berturut-turut.

Ia adakah rekod baharu jumlah suntikan dalam sehari yang berjaya dicapai.

Sementara itu, tinjauan mendapati kelancaran proses vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) yang berjalan pantas, menyokong usaha kerajaan meningkatkan kapasiti harian pemberian vaksin COVID-19 ketika ini.

Tinjauan di PPV Mega Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) mendapati kehadiran ribuan penerima vaksin di PPV yang mula beroperasi sejak 14 Jun lalu dikawal dengan baik dan proses berjalan pantas.

Sukarelawan dan petugas di semua lima stesen vaksinasi yang bertugas seawal jam 7 pagi hingga 9 malam setiap hari, juga dilihat bersemangat memberi penerangan dan membantu penerima vaksin yang hadir untuk kelancaran proses vaksinasi.

Pengurus PPV Mega MIECC, Dr Mohd Naufal Ridzuan, berkata kapasiti pemberian vaksin di PPV itu kini mencecah sekitar 5,000 sehari dan bakal ditingkatkan sehingga 10,000 dos dalam tempoh tujuh hingga 14 hari akan datang.

"Alhamdulillah, dalam tempoh 11 hari beroperasi, kami melihat kedatangan penerima vaksin amat memberangsangkan dengan lebih 95 peratus kehadiran.

"Sejak 14 Jun lalu, PPV ini sudah mengagihkan hampir 55,400 dos vaksin Sinovac kepada penerima vaksin, sekali gus membantu mempercepat mencapai sasaran imuniti kelompok," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, jurutera, Noor Azman Sudin, 57, yang menerima suntikan dos pertama semalam memuji proses vaksinasi yang lancar dan pantas di PPV Mega MIECC.

"Pada mulanya agak bimbang untuk terima vaksin kerana banyak cerita negatif mengenainya, namun penjelasan daripada ramai pakar mengenai kebaikan vaksin yang mengatasi keburukan meyakinkan saya.

Pesara swasta, Richard Yap, 56, yang berpuas hati dengan layanan diterima di PPV itu, hadir dengan matlamat untuk membuktikan bahawa dakwaan kononnya vaksin berbahaya adalah salah.

Bagi OKU, Azmi Lamin, 57, dia berpuas hati dengan layanan dan jumlah petugas yang sedia membantu individu berkerusi roda sepertinya dan memahami segala penjelasan dengan jelas.

"Saya tengok ramai yang dah ambil vaksin, malah ada adik-beradik saya yang sudah terima vaksin dan tiada masalah, jadi saya tidak terpengaruh dengan dakwaan negatif mengenai vaksin," katanya.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Kamaluddin, berkata kadar penggunaan vaksin negara kini 90 peratus.

"Seratus vaksin sampai, 90 akan diguna dalam tempoh beberapa hari. 10 tu buffer sikit untuk janji temu akan datang," katanya.

Naib Presiden i-Medik, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, berkata kejayaan program vaksinasi juga adalah satu petanda baik untuk membantu mencapai sasaran PPN lebih awal.

Katanya, dua faktor yang menjadikan vaksinasi semakin diperhebatkan ialah kerajaan berjaya mendapat sebanyak mungkin bekalan dan orang ramai semakin yakin untuk mendaftar mendapatkan suntikan.

"Kini kesedaran mendaftar mendapatkan vaksin semakin baik. Penduduk di kampung juga sudah mempunyai kesedaran dan sudah memahami kepentingan vaksin," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, keupayaan kerajaan membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega juga antara faktor penyumbang kepada pertambahan individu divaksin.

"PPN yang dilaksanakan oleh kerajaan ini amat bertepatan dengan usaha meningkatkan pemberian vaksin dan diharap sasarannya dapat dipertingkatkan lagi dan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera," katanya.

Berita Harian X