Jumaat, 25 Jun 2021 | 4:47pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Lanjutan PSU, moratorium pastikan PKS terus bertahan

KUALA LUMPUR: Pelanjutan Program Subsidi Upah (PSU) dan pemberian moratorium pinjaman secara automatik antara kemudahan amat diperlukan komuniti perniagaan bagi memastikan kelangsungan dalam berdepan pandemik COVID-19.

Jika bantuan tidak diberikan, dibimbangi banyak lagi perniagaan yang akan gulung tikar dan ratusan ribu orang bakal kehilangan pekerjaan.

Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata berdasarkan tinjauan pertengahan tahun SAMENTA minggu lalu, sebanyak 30 peratus perindustrian kecil dan sederhana (PKS) mengakui mempunyai aliran tunai kurang daripada satu bulan.

"Ini bermakna, keadaan sebenar cukup genting dan sekiranya bantuan kewangan tidak disalurkan secepat mungkin jika sekatan pergerakan penuh dilanjutkan, banyak lagi PKS yang akan gulung tikar," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas bentuk bantuan tambahan yang diperlukan PKS dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan satu lagi pakej bantuan ekonomi yang besar tidak lama lagi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, juga berkata, kementerian itu akan terus memantau dan memperincikan bentuk bantuan lain yang akan disalurkan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan baki RM100 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi serta RM200 bilion dari Belanjawan 2021 yang masih belum dibelanjakan.

Bagi membantu PKS, William mencadangkan kerajaan melanjutkan PSU hingga hujung tahun, selain mengarahkan bank memberi moratorium pinjaman secara automatik serta tanpa faedah kepada mana-mana PKS yang tidak dapat beroperasi dan memohon moratorium.

Selain itu, beliau turut meminta semua kutipan dan caruman wajib seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan bayaran lesen untuk semua PKS yang tidak dapat beroperasi perlu dihentikan serta merta.

"Ketika kita sedang menyelamatkan nyawa, kita juga harus menjaga kesinambungan hidup rakyat dan ekonomi kita. Janganlah kita menang dalam perang pandemik tetapi tewas menyeluruh dari segi ekonomi.

"Bantulah kami selepas bertahun-tahun kami membantu kerajaan dengan membayar cukai secara tepat dan memastikan jutaan rakyat dapat bekerja serta menampung perbelanjaan keluarga," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, berkata berdasarkan kajian yang dijalankan DPMM dan aduan daripada usahawan serta rakyat, proses untuk memohon moratorium daripada bank mengambil masa yang lama, selain syarat yang dikenakan setiap bank adalah berbeza.

"Sekatan pergerakan penuh ketika ini menyebabkan usahawan mengalami masalah aliran tunai yang teruk, justeru DPMM menggesa supaya moratorium tidak dikenakan sebarang bunga dan caj tambahan oleh pihak bank.

"Syarat kelayakan moratorium bagi PKS juga perlu dilonggarkan tanpa perlu menunjukkan bukti penurunan pendapatan kerana penyata bank bagi Jun 2021 hanya dikeluarkan pada Julai dan proses permohonan berpanjangan hingga Ogos 2021.

"Ini boleh mengakibatkan tekanan aliran tunai kepada usahawan untuk menyara hidup bagi Jun dan Julai ini," katanya.

Norsyahrin berkata, PSU juga perlu dilanjutkan hingga hujung tahun ini, manakala kadar subsidi untuk setiap pekerja ditingkatkan kepada RM1,200, berbanding RM600 ketika ini.

"Selain itu, satu fasiliti 'dana pusingan' serendah RM5,000 hingga RM50,000 perlu diwujudkan supaya usahawan kecil boleh menggerakkan semula perniagaan mereka yang ditutup sekian lama," katanya.

Beliau turut memaklumkan, DPMM baru-baru ini bergabung dengan 45 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam seluruh negara bagi mendesak memberi moratorium automatik kepada 500,000 ahlinya.

Berita Harian X