Jumaat, 25 Jun 2021 | 11:26am

Hampir 270,000 dos vaksin disuntik semalam

KUALA LUMPUR: Kapasiti harian pemberian vaksin merekodkan kadar tertinggi apabila hampir 270,000 dos vaksin diberikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin COVID-19 diberikan mencecah lebih 6.8 juta dos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sejumlah 268,604 dos diberikan semalam, sekali gus menyaksikan kadar pemberian vaksin mencatat lebih 250,000 dos untuk tiga hari berturut-turut.

Pemberian vaksin harian negara mula melepasi 250,000 buat pertama kali pada Selasa lalu dengan 250,529 dos, disusuli 252,773 pada Rabu dan 268,604 dos semalam.

Kadar tertinggi itu juga dicapai hanya dalam tempoh 10 hari selepas pemberian vaksin harian melepasi 200,000 dos buat kali pertama sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Selain itu, Dr Adham memaklumkan sebanyak 6,823,104 dos vaksin diagihkan di seluruh negara setakat semalam, dengan hampir lima juta individu menerima dos pertama dan hampir 1.9 juta individu mendapat dos lengkap vaksin COVID-19.

"Jumlah individu menerima dos pertama ialah 4,924,334 orang atau 15.1 peratus daripada lebih 32 juta populasi negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,898,770 orang menerima dos kedua, yang meliputi 5.8 peratus daripada populasi Malaysia," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dikongsi Dr Adham menunjukkan, penduduk Kuala Lumpur adalah yang tertinggi mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

Nilai semula penggunaan data kes harian dalam menggubal dasar berdepan COVID-19. FOTO NSTP
Nilai semula penggunaan data kes harian dalam menggubal dasar berdepan COVID-19. FOTO NSTP

Kuala Lumpur merekodkan seramai 44.7 peratus atau 792,013 penduduknya sudah menerima suntikan dos pertama, disusuli Putrajaya (35,021/31.8 peratus), Labuan (28,565/28.7 peratus), Sarawak (721,653/25.6 peratus) dan Perlis (59,520/23.4 peratus).

Penduduk Putrajaya pula mendahului penerimaan dos kedua vaksin dengan merekodkan 19.7 peratus atau 21,672 individu, disusuli Labuan (13,445/13.5 peratus), Perlis (31,403/12.3 peratus), Kuala Lumpur (151,632/8.5 peratus), Sarawak (188,852/6.7 peratus) dan Negeri Sembilan (75,908/6.7 peratus).

Berita Harian X