Jumaat, 25 Jun 2021 | 11:08am
MEDC cadang KPM utamakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan untuk ambil lebih 18,000 guru secara ‘one off’. FOTO NSTP (Hiasan)
MEDC cadang KPM utamakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan untuk ambil lebih 18,000 guru secara ‘one off’. FOTO NSTP (Hiasan)

KPM perlu utamakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan

KUALA LUMPUR: Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam (MEDC) menyarankan pengambilan khas guru secara 'one-off' perlu mengutamakan graduan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Awam (UA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) berdaftar Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Norazah Nordin, berkata kumpulan ini perlu diutamakan mengisi kekosongan kerana ada yang belum dipanggil temu duga atau belum mendapat penempatan walaupun lulus temu duga.

"Penekanan perlu diberikan kepada graduan mempunyai kelayakan iktisas dalam bidang pendidikan kerana mereka mengikuti kurikulum pendidikan yang menepati standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam pelbagai pengkhususan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' membabitkan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41, bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Norazah berkata, graduan terbabit menjalani proses sewajarnya menjadi guru termasuk mempelajari falsafah dan kualiti pendidikan, kurikulum dan pedagogi, penilaian dalam pendidikan serta kemahiran insaniah.

Katanya, graduan ini juga dilengkapi dengan kemahiran menyelesaikan masalah berdasarkan teknologi Revolusi Industri 4.0 termasuk pendigitalan pendidikan iaitu ilmu sangat penting dalam suasana PDPR

"Graduan terbabit juga menjalani latihan mengajar di sekolah, dibimbing guru berpengalaman dan didedahkan aktiviti kurikulum terkini, ko-kurikulum dan budaya positif persekolahan negara, termasuk elemen pembinaan insan seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi," katanya.

Beliau berkata, jika terdapat keperluan mendesak melantik guru daripada mereka yang tidak memiliki ijazah sarjana muda pendidikan, MEDC mencadangkan program 'upskilling' dan 'reskilling' dilakukan dengan kerjasama UA dan IPG dalam bidang perguruan.

"Tidak dinafikan langkah KPM itu memberi peluang pekerjaan kepada graduan kerana mengikut data Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran semasa bagi April 2021 seramai 742,000 orang.

"Justeru mereka juga disarankan mengambil Diploma Lepasan Ijazah Pendidikan sebagai satu kriteria perlu dipatuhi, ditawarkan UA dan IPG supaya mereka dilatih dengan semua kemahiran yang perlu," katanya.

Berita Harian X