Rabu, 23 Jun 2021 | 1:54pm
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir

ARMADA kesal pengambilan khas guru dipolitikkan

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU kesal dengan pihak yang sengaja mempolitikkan isu pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata isu pendidikan tidak wajar dijadikan bahan untuk sesetengah pihak mencari perbatuan politik.

Katanya, keputusan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengenai pengambilan khas itu adalah bertujuan membuka jalan terhadap isu kekurangan guru yang serius terutamanya di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

"Justeru saya menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas dan tidak mengehadkan pandangan beliau terhadap politik sempit semata-mata.

"Apa yang dilakukan hari ini dapat menjamin masa depan anak-anak pewaris negara kita," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf berkata, sebelum ini Ahmad Zahid, membangkitkan beberapa persoalan berkenaan pengambilan khas guru secara 'one-off' sebagaimana diumumkan baru-baru ini.

Bagi persoalan Presiden UMNO yang bertanyakan sama ada akan ada pengambilan graduan pendidikan baharu pada masa akan mendatang, jelasnya pengambilan graduan pendidikan pada tahun mendatang akan tetap diteruskan kerana pengambilan khas itu bertujuan untuk mengisi jawatan sedia ada yang sepatutnya diisi sejak dulu lagi.

"Bagi soalan beliau yang mempersoalkan keperluan untuk membuka pengambilan khas situ kepada graduan bidang lain, dalam sidang media Radzi sebelum ini sudah dinyatakan dengan jelas.

"Beliau (Radzi) berkata pengambilan khas ini akan tetap memberi keutamaan kepada graduan pendidikan namun pada masa sama, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) akan bekerjasama mewujudkan kluster opsyen dan akan memberi peluang luas kepada graduan pendidikan.

"Pengambilan graduan bukan daripada bidang pendidikan pula akan dipertimbangkan jika calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen. Jadi tidak timbul isu graduan pendidikan disisihkan daripada pengambilan khas ini," katanya.

Bagi persoalan Ahmad Zahid sama ada keputusan KPM dibuat atas sebab populis, beliau berkata isu kekurangan guru itu adalah hasil daripada keputusan kerajaan sekitar 2016 berikutan kerajaan ketika itu mengurangkan pengambilan guru bagi Institut Pendidikan Guru (IPG).

Minggu lalu dilaporkan, KPM akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak Johor dan Selangor.

Ia akan membabitkan pengambilan seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini, manakala penempatan secara berperingkat bermula pada Oktober nanti.

Berita Harian X