Selasa, 22 Jun 2021 | 1:34pm
Kementerian Pendidikan perlu mengutamakan aspek kualiti, kemahiran dan minat dalam pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara. - Foto hiasan NSTP
Kementerian Pendidikan perlu mengutamakan aspek kualiti, kemahiran dan minat dalam pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara. - Foto hiasan NSTP

KPM perlu tumpu tiga aspek ambil guru baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengutamakan aspek kualiti, kemahiran dan minat dalam pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata tiga aspek terbabit perlu diberi penekanan kerana cabaran yang dihadapi dalam bidang perguruan amat besar.

"Guru perlu memiliki kualiti, kemahiran dan minat yang mendalam. CUEPACS tidak mahu pengambilan secara besar-besaran ini hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata tetapi tidak memberi impak yang diharapkan.

"Ketika ini ramai graduan daripada siswazah pendidikan masih tidak mendapat penempatan dan jika mereka layak keutamaan seharusnya diberikan kepada mereka.

"Tempatkan mereka berdasarkan opsyen mata pelajaran masing-masing supaya kemahiran dan keupayaan mereka dapat digunakan dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adnan bagaimanapun, berkata CUEPACS melihat pengambilan guru secara besar-besaran tidak sewajarnya diteruskan pada masa depan, sebaliknya pengambilan perlu dilakukan secara berperingkat mengikut kekosongan semasa.

Jelasnya, langkah itu lebih wajar kerana ia mampu mengatasi masalah semasa dan bukan untuk diselesaikan dalam satu tempoh sahaja.

"Pada masa sama, CUEPACS berharap KPM menyelesaikan masalah permohonan pertukaran guru sedia ada ketika ini sebelum memberi penempatan kepada guru baharu.

"Selesaikan dahulu permohonan guru lama yang memohon untuk bertukar terutama kepada pasangan jarak jauh, mempunyi ibu bapa uzur atau menghadapi masalah kesihatan serius," katanya.

Justeru, beliau berkata, CUEPACS berharap guru muda yang bakal diambil kelak menggunakan peluang sebaiknya bagi mendidik anak bangsa.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, sebelum ini dilaporkan berkata KPM akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Katanya, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.

Berita Harian X