Isnin, 21 Jun 2021 | 11:50am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Utamakan graduan ISMP isi jawatan guru

KUALA LUMPUR: Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memberi keutamaan segera kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di universiti awam (UA) yang masih menunggu penempatan sebagai guru bagi mengisi pengambilan khas membabitkan lebih 18,000 perjawatan secara 'one off' itu.

Langkah itu boleh membantu menyelesaikan keperluan mendesak perjawatan itu di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor seperti dinyatakan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media khas semalam.

Selain itu, pengambilan guru dalam kalangan pemegang ISMP di UA juga dapat menjimatkan kos pentadbiran bagi merekrut guru baharu berikutan graduan terbabit sudah biasa didedahkan dengan alam persekolahan.

"GGPUA gusar apabila menteri menyebut pengambilan guru ini turut dibuka kepada graduan tidak memiliki ikhtisas perguruan.

"Tindakan ini harus diperhalusi secara kritis supaya tidak mendatangkan sebarang pertindihan implikasi terhadap nasib penempatan graduan dalam profesion perguruan di masa depan.

"Sebenarnya pengambilan guru dalam kalangan pemegang ISMP di UA juga mampu melancarkan urusan pihak KPM dan pihak sekolah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, GGPUA mendedahkan menerusi hasil kaji selidiknya terhadap 13 UA setakat Januari tahun lalu, mendapati isu lambakan graduan pendidikan belum mendapat penempatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 sudah berlarutan sekian lama.

BH difahamkan, seramai 4,390 lepasan ISMP menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020 dengan sebahagian mereka belum mendapat panggilan temu duga.

Selain itu, gerakan itu juga mengemukakan beberapa syor lain kepada KPM sambil berharap pihaknya dapat diberi peluang duduk semeja dengan menteri berkenaan dalam usaha memperincikan segala mekanisme berkaitan.

GGPUA mengesyorkan KPM menyerap masuk graduan ISMP di UA tanpa mengira opsyen ke sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK).

KPM turut dicadang melakukan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 membabitkan opsyen umum bagi graduan ISMP UA ke sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

"KPM perlu mempertimbangkan opsyen minor untuk urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 bagi graduan ISMP di UA.

"KPM turut disaran mewujudkan tiga subjek pilihan mengajar di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (MySPP) bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41," katanya.

GGPUA berpandangan kesenjangan pengambilan pelajar bagi memenuhi kuota program pengajian pendidikan di UA perlu diselaraskan dengan keperluan opsyen guru unjuran KPM pada setiap tahun.

"Kita percaya langkah ini dapati direalisasikan menerusi libat urus bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Selain itu, GGPUA melihat penyelesaian jangka panjang bagi isu kekurangan guru di sekolah boleh diselesaikan dengan mewujudkan program penyerapan pelajar tahun akhir bagi ISMP di UA.

"Usaha ini boleh dicapai dengan keterlibatan KPM dan KPT supaya mampu mencapai satu kata putus bagi merealisasikan hasrat ini," katanya.

Mengulas ketidaksepadanan opsyen graduan sesuai keperluan guru di sekolah, GGPUA berkata, terdapat beberapa kursus profesional dalam membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru dari semasa ke semasa seperti Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC), Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) dan pelbagai lagi.

"Graduan ISMP UA sudah melalui tapisan kelayakan perguruan sebelum menjejakkan kaki ke universiti melalui Ujian Inventori Pemilihan Pendidikan Malaysia (MEdSI), latihan perguruan sepanjang empat tahun pengajian dan latihan mengajar di sekolah.

"Terdapat juga sebilangan graduan pada kohort berbeza menjalani Program Perantis Guru (PPG)," katanya.

Berita Harian X