Isnin, 21 Jun 2021 | 11:06am
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Pengambilan guru baharu: KPM diharap utamakan graduan ISMP, IPG

TANJUNG MALIM: Kementerian Pendidikan (KPM) diharap memberi keutamaan sepenuhnya kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari universiti awam (UA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG), dalam pengambilan khas 18,702 guru baharu yang bakal dilaksanakan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata golongan graduan itu adalah calon pendidik terlatih dan telah mengikuti pelbagai latihan profesionalisme guru.

Beliau berkata, graduan ISMP bukan saja dilengkapi kemahiran mendidik tetapi juga komunikasi, penyelesaian masalah, teknologi Revolusi Perindustrian 4.0, pengurusan dan hubungan antarabangsa supaya mereka kelak dapat melahirkan murid holistik selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Kehadiran graduan ISMP yang terlatih pasti akan membantu pihak sekolah dan KPM mencapai matlamat murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)," katanya.

Media semalam melaporkan KPM akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan jawatan itu di seluruh negara, terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, dipetik berkata ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai depan, manakala penempatan dilakukan secara berperingkat mulai Oktober.

Mengulas lanjut, Md Amin berkata, UPSI menyambut baik pengumuman itu yang pasti memberi kelegaan kepada ribuan graduan ISMP dari UA yang sedang menunggu penempatan ke sekolah.

Malah, beliau berkata, ia akan turut meningkatkan motivasi mereka untuk mencurah bakti memartabatkan mutu pendidikan negara.

"Terima kasih KPM, Jabatan Perkhidmatan Awam serta kerajaan kerana proaktif membantu graduan pendidikan yang masih menunggu penempatan, termasuk mereka dari UPSI," katanya.

Md Amin memaklumkan, setiap tahun UPSI melahirkan graduan berkualiti dalam bidang Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi untuk keperluan sekolah menengah seperti yang disenaraikan Radzi.

Sehubungan itu, katanya, Pusat Kerjaya & Keusahawanan Graduan (EDGE) UPSI akan segera menghantar senarai nama dan butiran graduan dalam bidang terbabit untuk menyokong inisiatif murni KPM berkenaan.

Beliau sekali gus menasihati semua graduan ISMP agar segera mendaftarkan diri untuk mengisi kekosongan penempatan yang diumumkan kerajaan itu.

Selain itu, katanya, graduan juga dinasihatkan tidak terlalu cerewet memilih lokasi penempatan kerana pengalaman mengajar jauh dari kampung halaman adalah amat berharga dalam kerjaya seorang guru.

Bagi menggalakkan pengisian perjawatan guru secara sistematik dan menepati unjuran, Md Amin menyarankan pewujudan satu pangkalan data bersepadu membabitkan UA yang menawarkan pengajian dalam bidang pendidikan, IPG serta KPM.

Katanya, pangkalan data itu dapat mewujudkan unjuran pengambilan, bidang pengajian, kekosongan perjawatan dan proses penempatan yang lebih sistematik.

"UPSI bersedia untuk bekerjasama erat dengan KPM, IPG dan Majlis Dekan Pendidikan untuk merealisasikan idea pangkalan data bersepadu ini," katanya.

Bagi pemantapan kualiti guru dalam jangka panjang pula, beliau menyarankan supaya badan profesional pendidikan ditubuhkan.

Berita Harian X