Ahad, 20 Jun 2021 | 1:54pm

Kejayaan pelan pemulihan perlu sokongan rakyat

PELAN Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri menggariskan strategi jelas mengenai hala tuju peralihan keluar negara daripada cengkaman pandemik secara berfasa.

Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan pandangan Profesor Ekonomi di Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar, mengenai hala tuju dan impak dari segi ekonomi dan sosial.

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Soalan (S): Bagaimana Tan Sri melihat Pelan Pemulihan Negara?

Jawapan (J): Ramai keliru menyatakan pelan ini untuk memulihkan ekonomi negara daripada pandemik. Ia jelas memperincikan indikator utama digunakan kerajaan dalam menilai untuk melonggarkan dan secara beransur keluar mengikut fasa daripada sekatan pergerakan penuh berdasarkan asas data serta fakta sains.

Saya percaya pelan ini sudah dibuat berdasarkan perkiraan sebaiknya dan seperti dinyatakan Perdana Menteri, berdasarkan fakta realistik. Jika dilihat ukuran ini berkait dan paling utama pada saya adalah kadar vaksinasi yang akan mempengaruhi kadar kes harian dan kapasiti wad di unit rawatan rapi (ICU) di hospital awam. Ini pada hemat saya mewujudkan kepastian dan ketelusan dalam cara kerajaan menentukan fasa pemulihan dan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

S: Boleh ulas tiga indikator ditetapkan melalui pelan pemulihan ini?

J: Bagi saya, faktor utama ialah prestasi kadar vaksinasi. Dalam hal ini kita perlu mempunyai bekalan vaksin mencukupi. Pada masa ini kita beli dari luar daripada pelbagai sumber. Jadi, pasti keupayaan memastikan bekalan vaksin mencukupi penting dan kemudian kecekapan perkhidmatan awam untuk memastikan kadar vaksinasi ini dicapai.

Rakyat juga perlu bertindak dan bersedia divaksin. Dengan kadar vaksin tinggi, kedua-dua indikator tadi seharusnya bertambah baik. Di samping vaksin, semua pihak perlu ambil tanggungjawab dan patuh prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin. Jika tidak, kes tetap terus berulang dan berlegar dalam lingkungan sama.

Dengan pengumuman bekalan vaksin lebih banyak sampai pada masa terdekat serta lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka, termasuk melalui pandu lalu, mobile (bergerak) yang masuk ke kampung dan terkini Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), saya kira kita sudah berada di laluan tepat. Lagi banyak saluran dan penyertaan swasta, maka pencapaian lebih baik dapat dihasilkan.

S: Kluster kilang antara mencatat kes tinggi, pada masa sama majikan dan industri mahu kegiatan mereka terus dibuka untuk mengelak impak ke atas ekonomi. Apa komen?

J: Kita kena berhati-hati dengan interpretasi data mengenai jangkitan di sektor kilang dan komuniti. Memang ini boleh dijadikan panduan, tetapi perlu diperincikan lagi. Kita kena tahu, sama ada kluster kilang datang daripada kilang macam mana - kilang besar, multinasional atau kilang kecil yang tidak formal. Jadi, takrifan kilang ini perlu diperincikan dan dijelaskan.

Saya setuju tidak semestinya semua kilang dibenarkan beroperasi. Kita tidak boleh ambil tindakan menyeluruh - jika kes kilang bertambah, semua kilang kena tutup. Kita perlu ambil kira kelangsungan ekonomi, apa pun tindakan perlu dibuat berdasarkan data.

Saya mendapat maklum, kilang lebih besar dengan ribuan pekerja menetapkan SOP yang ketat. Lebih baik dinilai mengikut kes, jika kilang dikenal pasti sebagai hot spot dan ada kes COVID-19, kita arahkan tutup, itu lebih baik dan pastikan pematuhan SOP sebelum satu-satu kilang itu mahu dibuka semula. Bukan semua kilang. Guna data dan sains.

Pemantauan dan penguatkuasaan juga perlu terperinci, kita tidak boleh tutup keseluruhan sektor perkilangan kerana ia tidak betul. Ada kilang mematuhi SOP ditetapkan dan berada dalam keadaan baik. Kena ambil kira data lebih mikro. Sebaiknya, penutupan ini kena buat secara bersasar, berdasarkan maklumat tepat.

S: Berdasarkan empat fasa panjang ditetapkan, mampukah rakyat dan industri menampung kesannya?

J: Perbelanjaan terbahagi kepada dua - asas (makan minum dan keperluan asas yang tidak boleh ditangguh) dan kehendak (bukan keperluan dan boleh ditangguh, beli baju dan kereta, umpamanya). Saya lihat dalam PKP terkini, kerajaan mengambil pendekatan berbeza daripada PKP pertama. Untuk PKP kali ini, kerajaan memberi ruang lebih longgar bagi kumpulan pendapatan rendah seperti penjaja, peruncit dan peniaga kecil diberikan kebenaran beroperasi. Jadi kumpulan ini kurang terkesan dan mereka terbabit dalam bidang runcit asas, pembuatan makanan, barang keperluan asas. Jadi dalam konteks ini, impak ke atas ekonomi sifatnya berbeza dengan PKP terdahulu.

Kedua, selepas setahun pandemik terdapat peningkatan mendadak dalam konteks perniagaan digital atau setidaknya pesanan dalam talian dan peniaga sudah dapat bertindak serta mencari ruang menjual produk melalui saluran baharu. Cuma, pasti ia tidak boleh berlanjutan. Dalam konteks keupayaan rakyat meneruskan kehidupan itu memang mencabar. Dikatakan dalam satu kajian lebih 600,000 isi rumah dalam M40 sekarang jatuh pendapatan mereka di bawah garisan pendapatan B40. Kerajaan perlu kenal pasti isi rumah ini dan bantu melalui pakej yang ada.

Krisis ekonomi kini tidak sama seperti pada 1997/1998. Krisis ketika itu lebih bersifat tadbir urus dan kepincangan pengurusan serta pengambilan risiko tinggi bukan daripada krisis kesihatan. Saya percaya aktiviti ekonomi akan kembali rancak, tetapi tidak dinafikan akan ada kesan tercalar dan berlanjutan.

S: Dari segi bantuan dan rangsangan, apakah kerajaan sudah melakukan yang terbaik?

J: Bantuan ini kita kena fahami tujuannya. Semua pihak ingin mendapat sebanyak mungkin dan seboleh-bolehnya mengamalkan kehidupan sebelum berlaku pandemik. Pasti krisis ini meluas atau sistemik yang terkena kepada semua orang. Jadi keupayaan kerajaan untuk mengembalikan kehidupan semua pihak ke tahap seperti sebelum pandemik, mungkin sukar.

Jumlah pakej rangsangan disediakan kerajaan kini mencecah RM380 bilion. Ini satu angka besar dan hampir RM71 bilion atau 18 hingga 19 peratus membabitkan suntikan dan pemberian tunai seperti subsidi upah, Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) dan Geran Khas Prihatin (GKP). Pada masa sama, kedudukan fiskal kita juga berhadapan kekangan, sebelum krisis lagi.

Kerajaan meningkatkan hutang kepada 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Perlu difahami pinjaman berkenaan sebahagian besar khusus menampung perbelanjaan ini. Sekarang ramai tersalah faham dengan kedudukan fiskal. Pada pilihan raya lalu, ramai mencanangkan kononnya kerajaan kini mempunyai hutang terlalu tinggi dan negara akan bankrap. Itu tidak betul. Bagi saya, hutang ini hendaklah dibuat pada masa bersesuaian dan untuk tujuan sesuai serta ambil kira kemampuan dan keupayaan membayar semula.

Kalau dilihat krisis 2008/2009, defisit kita melebar ke -6.7 peratus dan kemudian secara beransur-ansur turun kepada 3 peratus. Bagi saya, disiplin kerajaan meminjam untuk bantuan kepada rakyat serta memastikan kestabilan fiskal dapat dipulihkan secara tersusun. Inilah langkah tepat kerajaan membantu rakyat, jadi bererti kerajaan sentiasa memikirkan cara yang bersesuaian. Setiap langkah diambil ada kesan, maka perlu dinilai manfaat dan kemungkinan masalah yang timbul.

S: Banyak desakan supaya rangsangan terus diberikan kepada rakyat dan antara disebut termasuk pemberian moratorium. Apa komen?

J: Satu perkara kita kena faham, krisis berpunca daripada masalah kesihatan dan memberi impak kepada ekonomi. Kesan pandemik beri kesan kepada aktiviti ekonomi, yang kita kena pastikan tidak menular kepada sistem kewangan kita. Sistem kewangan dan perbankan amat bergantung kepada keyakinan. Keyakinan pendeposit ke atas keselamatan deposit mereka di bank. Jika timbul isu keyakinan, kestabilan sistem kewangan boleh terjejas dan akan menimbulkan masalah kerana sistem perbankan bersifat dominos atau berkait. Jadi bagi saya, wajar kerajaan memikirkan satu bentuk institusi ditubuhkan bagi memastikan hutang rakyat dan industri kecil dan sederhana (PKS) dapat ditadbir dengan baik.

Pada 1997/1998 kita ada Dana Harta dan Dana Jamin. Pada masa itu, kita berhadapan krisis dalam kalangan institusi perbankan dan syarikat besar. Sekarang kita lebih sistemik, maka wajar pertimbangkan institusi khusus lebih berpusat, bersifat syarikat tujuan khas (SPV) supaya implikasi ke atas sistem perbankan dapat dielakkan. Kita kena menilai cara terbaik mengurangkan masalah kos hutang ditanggung PKS dan hutang orang awam. Saya tidak berasakan bank cenderung memenuhi permintaan PKS ini, maka perlu ada satu institusi khusus untuk menanganinya.

Sebelum ada krisis ini pun, keupayaan PKS dan peniaga mikro mendapatkan pinjaman adalah sukar, ini lagi dalam situasi krisis. Bank perdagangan bukan institusi yang mampu menangani isu PKS dan peniaga mikro, maka kita perlu ada institusi lebih dedikasi. Tujuannya membantu syarikat PKS dan mikro yang ditadbir dengan baik tetapi terkesan kerana pandemik. Kita tidak boleh biarkan mereka 'mati' hanya kerana mereka 'terhentak' atau 'terluka' akibat pandemik ini. Itu tidak betul. Bagi subsidi upah, saya setuju ia diteruskan sehingga Disember ini untuk mengekalkan pekerja. Namun, ia tertakluk keupayaan kerajaan.

S: Apa cadangan supaya Pelan Pemulihan Negara berjaya tanpa meninggalkan kesan terlalu besar buat rakyat dan ekonomi negara?

J: Kita mahukan pelan pemulihan lebih komprehensif dan terperinci dengan memperincikan tindakan jangka pendek dan jangka panjang. Dalam jangka pendek, apa tindakan pemulihan untuk menangani mereka yang terkesan seperti syarikat PKS yang baik, tetapi terkesan kerana pandemik seperti masalah mendapatkan pusingan tunai, berhadapan kemungkinan tutup kedai atau sistem pendidikan yang terganggu, cara bagaimana untuk keluar. Begitu juga permasalahan emosi dan psikologi akibat kehilangan punca rezeki dan ahli keluarga meninggal serta kumpulan yang jatuh secara tetap daripada M40 ke B40.

Untuk jangka panjang, lebih tertumpu pada isu struktur ekonomi, pemulihan yang membawa kepada satu format struktur baharu. Maksudnya menepati keperluan landskap baharu seperti pendigitalan, aplikasi teknologi, kemahiran baharu dan cara urusan kerajaan yang baharu, termasuk perkongsian data dalam kerajaan dan penggunaan teknologi serta bagaimana menarik pelaburan yang bersifat jangka panjang.

Sebaiknya tindakan jangka pendek dikaitkan dengan tindakan jangka panjang, maka pemulihan akan menjadikan Malaysia lebih bersedia dengan landskap ekonomi baharu. Kita pulih tanpa transformasi satu kerugian. Rugilah kita jika kita terus dengan cara lama, gunakan tenaga asing. Ini masa terbaik untuk PKS dan mikro beralih kepada pengurusan perniagaan lebih formal dan moden.

Pengurusan kewangan, perakaunan dan pengoperasian lebih formal dan mengaplikasikan teknologi. Jika sebelum ini, syarikat itu tiada sistem perakaunan yang baik, selepas pemulihan dengan sistem lebih baik. Jika dulu tidak gunakan teknologi baharu, kembali pulih dengan teknologi baharu. Ini penting seiring jangka pendek dan jangka panjang , maka perlu ada pelan pemulihan lebih terperinci dalam masa terdekat. Penjajaran semula perlu ada bagi memenuhi landskap ekonomi baharu.

Tingkat penerangan biar masyarakat faham

Dr Chandra Muzaffar.
Dr Chandra Muzaffar.

Soalan (S): Apa pandangan Dr mengenai Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan?

Jawapan (J): Dari segi konsep, ia sangat mudah difahami rakyat dan tidak rumit. Jika kita mahukan sokongan rakyat untuk bersama kerajaan membantu memulihkan keadaan negara dan mengatasi masalah, jangkitan dan krisis ekonomi akibat pandemik, kita perlukan pelan yang mudah difahami seperti ini. Cara pelan ini dibentuk dari segi konsep dengan empat fasa, tiga indikator untuk penentu setiap fasa sememangnya jelas dan mudah difahami serta tidak rumit untuk dilaksanakan. Saya berpendapat pelan ini sangat sesuai untuk mendapatkan pembabitan rakyat dalam melaksanakan usaha pemulihan sebagaimana diinginkan.

S: Tiga indikator dengan garis masa ditetapkan nampak mudah, tetapi risikonya tinggi. Apa komen?

J: Sudah pasti ada risikonya kerana pelan ini bergantung beberapa faktor luar kawalan baik negara, kerajaan dan rakyat. Kita lihat saja jangkitan pandemik, kita tidak boleh tentukan turun naik kes.

Lihat saja apa yang berlaku di Perancis dan Britain, apabila kes meningkat pemerintah negara berkenaan terpaksa mengambil langkah tertentu termasuk menguatkuasakan sekatan terhadap rakyat mereka. Di Britain, mereka pada awalnya fikir sudah mengatasinya, tetapi kes jangkitan berlaku juga. Ini semua di luar kawalan.

Keduanya, risiko mengenai orang yang sudah dijangkiti terutama kumpulan berisiko, warga tua, mereka yang kini berada dalam tahap satu dan dua jangkitan serta kumpulan yang berada pada tahap empat dan lima yang memerlukan bantuan pernafasan, ini semua di luar kawalan dan kita sukar meramalkannya.

Ketiganya, mengenai vaksinasi, kerajaan mungkin sudah menyusun rancangan dan sasaran pencapaian, tetapi semuanya bergantung sambutan rakyat kerana ada yang mahu divaksin dan ada juga sebaliknya. Ketiga-tiga indikator ini memang ada risikonya dan tahap pencapaiannya berbeza-beza. Risiko ini cabaran perlu kita hadapi.

S: Dalam konteks vaksinasi, apakah kita di laluan tepat?

J: Pendekatan diambil kerajaan sangat tepat, namun ia bergantung sambutan rakyat. Ini kerana kita ada banyak kumpulan masyarakat mengikut latar belakang sosio ekonomi dan pendidikan. Kita tidak boleh membuat satu kesimpulan untuk kumpulan masyarakat berbeza latar belakang ini.

Kerajaan boleh tetapkan sasaran pemberian vaksinasi dan ia tidak mustahil dicapai. Semuanya bergantung bagaimana kita menyampaikan maklumat mengenai vaksinasi kepada rakyat dan penambahan akses kepada kemudahan mendapatkan vaksin.

Tiga faktor boleh dilihat berhubung vaksinasi ini. Pertama, mengenai bekalan vaksin yang mana kita terpaksa bergantung sumber negara luar. Pada peringkat awal memang ada jaminan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengenai bekalan dan pengagihan vaksin. Namun, semuanya bergantung sikap dan rancangan syarikat pengeluar vaksin ini. Ada kemungkinan negara lebih kaya dan kuasa besar dapat kuasai akses kepada vaksin ini.

Pengaruh geopolitik juga mempengaruhi pengagihan bekalan, yang mana negara yang ada hubungan baik atau ada kepentingan untuk negara kuasa besar ini, akan lebih cepat mendapat bekalan vaksin. Jadi faktor bekalan ini di luar kawalan negara kita.

Kedua, bergantung kemudahan perkhidmatan kesihatan dan perubatan seperti hospital, doktor, jururawat dan perkakasan. Risiko faktor ini mungkin kurang kerana kita boleh memberikan latihan dan menambahkan kemudahan dan sumber tenaga kerja, membuka hospital medan dan pusat pemberian vaksin yang dekat dengan komuniti. Bantuan swasta mungkin ada sedikit kesukaran kerana mereka masih terikat syarat ditetapkan. Dalam hal ini saya lihat usaha kerajaan sangat penting bagi menanganinya.

Faktor ketiga penerimaan rakyat. Kerajaan terpaksa berhadapan kumpulan antivaksin. Perkara ini memang diketahui dan perlu ditangani dengan baik bukannya tidak mengambil peduli kumpulan berkenaan. Jangan mengambil mudah kumpulan ini kerana mereka mengemukakan hujah tidak masuk akal. Cara mengendalikan kumpulan masyarakat daripada latar belakang yang berbeza juga perlu diambil kira. Jika mereka tidak dapat akses, maka kita permudahkan supaya kumpulan mudah divaksin. Contohnya, masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman, sukar untuk mereka keluar bagi mendapatkan vaksin, maka kerajaan perlu menyediakan kemudahan itu di kawasan mereka. Boleh juga difikirkan cara pemberian vaksin secara bergerak melalui Pusat Pemberian Vaksin bergerak. Perkara ini sudah berjaya dilaksanakan di kawasan pedalaman di Indonesia.

S: Apakah sasaran pemulihan ini dapat dicapai mengikut jadual mengambil kira sikap masyarakat yang masih leka dan pertambahan kes tinggi.

J: Saya berpendapat kerajaan perlu terus tegas melaksanakan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) serta tidak perlu melayan permintaan kumpulan tertentu untuk melonggarkan peraturan. Untuk mengubah sikap masyarakat ini, kerajaan perlu memberikan maklumat, penerangan dan taklimat dengan pendekatan baharu.

Jentera penerangan perlu turun ke komuniti dan gunakan semua saluran komunikasi bagi meningkatkan kesedaran umum. Beri penekanan kepada kepentingan vaksinasi dan pematuhan SOP berkaitan keselamatan dan kesihatan umum. Kerajaan boleh juga menggunakan pelbagai saluran komunikasi dengan pendekatan baharu dan perbaiki komunikasi sedia ada.

Saya percaya pendekatan menggunakan orang berpengaruh untuk menyampaikan maklumat kerajaan sangat berkesan. Seperti vaksinasi ini, tidak salah rasanya kita menggunakan orang berpengaruh dan ramai pengikut untuk menyampaikan maklumat. Selebriti seperti penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza antara contoh tokoh yang ada banyak pengikut, begitu juga beberapa agamawan atau selebriti agama.

Dalam masa sama, cara menangani media sosial juga perlu diberikan keutamaan. Jawab semua tuduhan di media sosial menggunakan saluran dan gelanggang sama menggunakan kumpulan pakar. Jika fitnah disampaikan melalui media sosial, maka ia perlu dijawab di media sosial.

S: Melihatkan empat fasa yang panjang, apakah rakyat mampu menampung kesannya mengambil kira semakin ramai tidak dapat bekerja?

J: Jika kita lihat pelan pemulihan ini kerajaan menggunakan pendekatan mengikut sasaran tertentu. Kerajaan cuba membawa perubahan berdasarkan perubahan sosio ekonomi. Kerajaan bukan hanya melonggarkan satu-satu peraturan, tetapi dalam masa sama tentukan kita akan melaksanakan peraturan baharu yang sesuai mengikut situasi semasa. Jika satu-satu kelonggaran itu berisiko maka ia akan dikurangkan.

Dalam pelan pemulihan ini, sektor ekonomi akan dibuka secara berperingkat, bermakna keadaannya fleksibel dan bukannya statik. Kerajaan memahami keadaan kita alami ini dinamik, maka perubahan dibuat sesuai dengan perubahan itu. Ini pendekatan yang bagus, dinamik mengambil kira perubahan semasa, persekitaran dan perubahan iklim serta suasana masyarakat dan sebagainya.

S: Dari segi bantuan dan rangsangan, apakah kerajaan sudah melakukan yang terbaik?

J: Saya kira apa yang kerajaan lakukan kini berdasarkan kemampuan sedia ada. Berdasarkan angka semasa, kita rugi lebih RM1 bilion sehari dengan sekatan pergerakan penuh. Kerajaan harus mengambil kira kemampuan dan jika mahu menggalakkan kegiatan ekonomi, saya percaya ini dapat mengurangkan dampak daripada masalah ini.

Memang kerajaan dalam persimpangan sekarang untuk menyekat jangkitan, tetapi dalam masa sama mahu ekonomi negara berkembang. Ini satu cabaran yang besar.

Pihak yang mengkritik dan merungut mungkin tidak faham kerana ini situasi yang tidak pernah kita alami. Bukan hanya kita, tetapi seluruh dunia. Cabaran ini tidak mudah, namun berdasarkan prestasi keseluruhan, negara kita masih dalam kategori memuaskan dan ada negara jauh lebih teruk.

Jika mahu mengambil pengalaman wabak terdahulu, situasinya tidak sama. Ketika wabak selsema melanda dunia pada 1918 seramai dua juta orang terkorban, tetapi ia berbeza dengan keadaan sekarang. Pada masa ini tidak ada satu formula mujarab mengatasinya dengan mudah.

S: Apa cabaran utama Pelan Pemulihan Negara?

J: Sudah tentu mendapatkan kerjasama rakyat, selain kumpulan yang sering melanggar peraturan dan SOP ditetapkan. Namun, cabaran utama dalam pelan ini adalah kumpulan ahli politik. Ini kerana kumpulan ini mengejar sesuatu untuk kepentingan diri sendiri, bukannya mahu membantu dan memberikan buah fikiran yang ikhlas.

Contohnya, mereka mendesak diadakan persidangan Parlimen. Apa tujuan mereka, bukannya ikhlas mahu menyalurkan idea dan pandangan mengatasi pandemik, tetapi 'ada udang di sebalik batu'.

Mereka menyatakan apabila Parlimen bersidang mahu membahaskan pelan pemulihan, isu ekonomi dan darurat. Ini penting dan saya setuju itu hak Parlimen. Namun, mereka ini diketahui ada agenda lain kerana ada dalam kalangan Ahli Parlimen ini ada masalah mahkamah, ada pihak tertentu mahu kepimpinan politik ikut rentak mereka dan kedudukan mereka atau membantu rakan dan sekutu mereka.

Mereka gunakan Parlimen sebagai platform dan ini sangat menyedihkan. Saya nampak mereka ini menggunakan kebebasan Parlimen untuk mencapai sesuatu untuk kepentingan diri yang hanya merugikan masyarakat dan negara.

Berita Harian X