X
Jumaat, 18 Jun 2021 | 3:25pm
Antara orang ramai yang hadir bagi mendapatkan suntikan Vaksin di Pusat Vaksinasi MIECC di Seri Kembangan. - NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL
Antara orang ramai yang hadir bagi mendapatkan suntikan Vaksin di Pusat Vaksinasi MIECC di Seri Kembangan. - NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL

Kaji semula nilai ambang, petunjuk pelan pemulihan

KUALA LUMPUR: Nilai ambang dalam Pelan Pemulihan Negara wajar dikaji semula bagi memberi gambaran lebih tepat berkaitan situasi penularan COVID-19 dan kepentingan mengimbangi sektor ekonomi.

Ketua Kluster Perubatan dan Kesihatan Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Dr Adlina Suleiman, berkata penggunaan kes harian sebagai antara nilai ambang dan syarat peralihan fasa pelan berkenaan bukan petunjuk tepat kerana bilangan penularan jangkitan bergantung kepada jumlah saringan.

Mengambil contoh situasi di Selangor, beliau berkata, kes harian di negeri terbabit kekal sebagai penyumbang terbesar kadar jangkitan kerana saringan percuma giat dilakukan di setiap pelosok daerah dan kawasan 'panas'.

"Ramai dalam kalangan mereka yang didapati positif tidak mempunyai gejala, justeru golongan ini seharusnya mengambil langkah kawalan atau menjalani rawatan kendiri di rumah, sekali gus tidak memberi bebanan kepada kemudahan rawatan di hospital.

"Justeru, nilai ambang Pelan Pemulihan Negara harus lebih menyeluruh dan menggambarkan tahap penyebaran COVID-19, dengan meliputi petunjuk kadar rawatan, sumber kesihatan dan kesihatan awam.

"Selain bilangan katil unit rawatan rapi (ICU), ia harus meliputi bilangan pesakit dalam rawatan iaitu jumlah pesakit dalam kategori satu dan dua, berbanding mereka di kategori tiga, empat dan lima serta bilangan kematian berikutan komplikasi COVID-19 dengan perangkaan 'brought in dead' (BID) atau meninggal ketika tiba di hospital.

"Peratusan vaksinasi mengikut negeri, bilangan populasi yang disaring, nisbah positif ujian (TPR) dan pemberian dos pertama dan kedua juga harus diambil kira," katanya kepada BH, hari ini.

Bagi mempercepatkan usaha Malaysia mencapai imuniti kelompok dan kembali kepada norma kehidupan biasa, Timbalan Ketua Kluster Perubatan dan Kesihatan APM, Prof Dr Noor Azah Abdul Aziz, mencadangkan 26.5 juta individu dewasa di negara ini diberikan dos pertama suntikan pelalian terlebih dahulu seperti dilaksanakan di United Kingdom.

Selain itu, katanya, Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dalam kalangan pekerja kilang harus diperluaskan supaya meliputi pekerja di sektor sosial seperti peruncitan, pasar raya, perhotelan, restoran, pengangkutan dan riadah.

"Pekerja di sektor ini wajar diberi keutamaan dalam kerana ramai antara mereka dalam kategori golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

"Pendapatan B40 dan M40 kini terjejas sehingga terpaksa bergantung kepada moratorium serta insentif berkala yang diperuntukkan kerajaan.

"Vaksinasi berupaya diberikan sama ada melalui program awam-swasta, dengan syarikat besar boleh membeli vaksin dan seterusnya memberikan kepada pekerja mereka," katanya.

Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial APM, Prof Dr Jamal Othman, pula berkata jangka masa peralihan yang digariskan dalam PPN dikhuatiri bakal merencatkan usaha pertumbuhan negara, pasca pandemik COVID-19.

Beliau berpendapat, pembukaan sektor ekonomi dan sosial, secara berperingkat pada fasa ketiga iaitu mulai September serta Oktober tahun ini ialah terlalu lewat.

Katanya, syarat kadar jangkitan harian kurang daripada 2,000 kes bagi membolehkan sektor ekonomi kembali dibuka menjelang fasa ketiga pula sebenarnya agak ketat.

"Bilangan kes harian berkadar tinggi tidak semestinya mencerminkan keadaan mereka dalam kalangan yang positif semakin meruncing, melainkan ada data berupaya memberikan gambaran sedemikian.

"Justeru, kerajaan perlu menilai semula petunjuk dan sandaran dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Jika sebahagian besar sektor ekonomi kekal tutup dalam jangka panjang, ia bakal menyebabkan kesan buruk melangkaui tahap dapat dipulihkan dalam kalangan peniaga yang kini terjejas teruk akibat dua siri perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Tambahan pula, ia akan memerlukan pakej bantuan lebih besar dan memberi tekanan kepada upaya kewangan serta fiskal kerajaan,

"Sehubungan itu, pembukaan sektor ekonomi serta pergerakan fasa pemulihan seharusnya bersandarkan bilangan kes mengikut kluster sama ada perkilangan, tempat kerja, perkhidmatan, komuniti, atau petugas kesihatan.

"Pembukaan sektor atau aktiviti ekonomi dalam situasi kadar jangkitan yang sedikit seharusnya dipercepatkan bagi mengimbangi keperluan ekonomi, keselamatan kesihatan dan juga kesihatan mental penduduk, namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diawasi," katanya.

Secara keseluruhan, Jamal berkata, Pelan Pemulihan Negara menyerlahkan satu kerangka strategi jelas dan penting untuk keluar daripada pandemik COVID-19, namun keperluan kerajaan meneruskan kesinambungan pakej rangsangan terdahulu, khusus bagi menangani impak berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh tidak wajar disisihkan.

Sehubungan itu, katanya, keperluan memperuntukkan subsidi upah, moratorium pinjaman yang menyeluruh dan geran atau insentif tambahan untuk menyemarakkan pengeluaran tanaman makanan, termasuk skim pertanian bandar wajar dipertimbangkan.

"Ada petanda peningkatan kadar inflasi dalam sektor makanan akibat gangguan dalam rantaian bekalan.

"Justeru, skim pertanian bandar berpotensi mengatasi masalah ini selain menyumbang kepada keselamatan dan kedaulatan makanan negara," katanya.

Berita Harian X