Rabu, 16 Jun 2021 | 7:17pm

Ketepikan fahaman politik, jayakan Pelan Pemulihan Negara

KUALA LUMPUR: Semua pihak tanpa mengira fahaman politik diminta bekerjasama menggalakkan lebih ramai mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ini bagi membolehkan negara mencapai sasaran imuniti kelompok, sekali gus menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, program vaksinasi ketika ini giat dilaksanakan di seluruh negara, menunjukkan peningkatan cukup baik.

Beliau berharap, semua Ahli Parlimen menghentikan tindakan mempolitikkan soal sidang Dewan Rakyat, sebaliknya menumpukan perhatian meningkatkan pendaftaran bagi suntikan vaksin khususnya di kawasan masing-masing.

"Perlu ditegaskan berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, negara kita akan dapat melalui empat fasa Pelan Pemulihan Negara, jika Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencapai sasaran imuniti kelompok dengan 80 peratus populasi divaksinasi.

"Sekarang adalah masa untuk kita bersatu. Pemberian vaksin semalam, mencapai 215,000 dos manakala jumlah pelalian dibenarkan bertambah apabila dua lagi jenis vaksin diluluskan Kementerian Kesihatan.

"Ia adalah Covidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 vector) keluaran CanSio Bilogics Inc, China dan Jansen Covid-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Pelan itu strategi keluar daripada pandemik COVID-19 dengan sasaran rakyat dapat kembali kepada kehidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

Ia mengetengahkan tiga indikator dan nilai ambang, iaitu angka kes harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan populasi lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Rina berkata, pihaknya menghargai komitmen Muhyiddin yang menegaskan sidang Dewan Rakyat boleh diadakan pada September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Katanya, Wanita PN berharap penegasan Muhyiddin itu akan menghentikan pelbagai spekulasi, tuduhan dan andaian tidak benar, kononnya Perdana Menteri takut mengadakan sidang Dewan Rakyat.

"Ini membuktikan Muhyiddin dan kerajaan komited memastikan sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa sesuai, selepas kes COVID-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok.

"Wanita PN akan terus memberi sokongan dan dukungan padu kepada agenda penting Pelan Pemulihan diumumkan Muhyiddin yang turut membuktikan keprihatinan serta komitmen kerajaan memulihkan ekonomi negara agar kemakmuran terus dinikmati sekali gus membina negara sejahtera," katanya.

Mengenai Pelan Pemulihan Negara, Rina berkata, ia memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan mempunyai perancangan rapi bagi memulihkan negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19 secara menyeluruh.

"Ia membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan membawa negara keluar daripada krisis pandemik COVID-19.

"Kita yakin semua empat fasa berpaksikan data, fakta dan angka ini akan memberi panduan kepada pembuat dasar dalam menentukan tindakan dan objektif perlu dilakukan dan dicapai bagi membolehkan negara lolos daripada ancaman wabak ini," katanya.

Semua pihak tanpa mengira fahaman politik diminta bekerjasama menggalakkan lebih ramai mengambil suntikan vaksin COVID-19 - Datuk Seri Rina Mohd Harun
Semua pihak tanpa mengira fahaman politik diminta bekerjasama menggalakkan lebih ramai mengambil suntikan vaksin COVID-19 - Datuk Seri Rina Mohd Harun
Berita Harian X