Rabu, 16 Jun 2021 | 6:16pm
 Anggota tentera membuat pemantauan di laluan tikus yang digunakan segelintir penduduk merentas keluar atau masuk ke Terengganu ketika tinjauan di sekitar Kuala Besut. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Anggota tentera membuat pemantauan di laluan tikus yang digunakan segelintir penduduk merentas keluar atau masuk ke Terengganu ketika tinjauan di sekitar Kuala Besut. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Pelan Pemulihan Negara strategi realistik tangani COVID-19

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara adalah strategi realistik dalam merangka pelan keluar efektif daripada kesan pandemik COVID-19.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pelan itu bersandarkan data asas iaitu semakin menurun kes positif COVID-19, semakin pantas negara akan pulih daripada sudut kesihatan dan ekonomi.

"Dengan adanya Pelan Pemulihan Negara ini, hala tuju negara sudah jelas dan kita bersedia sebaik sahaja imuniti kelompok terbentuk kelak.

"Dengan bekalan vaksin yang berlipat ganda dalam beberapa bulan akan datang, Malaysia semestinya boleh mencapai 60 peratus imuniti kelompok pada akhir Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata, negara berjaya melaksanakan suntikan vaksin secara purata kira-kira 130,000 orang sehari dan jumlah itu bakal berganda menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, lebih menggembirakan apabila dua jenis vaksin suntikan tunggal iaitu CanSino dan Johnson & Johnson, diluluskan penggunaannya di Malaysia sekali gus mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuka semula Parlimen pada fasa tiga Pelan Pemulihan Negara.

Jelasnya, ia selari dengan pelaksanaan Ordinan Darurat ketika ini yang bakal berakhir pada Ogos ini.

"Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan komitmen Perdana Menteri untuk membuka semula Parlimen dalam fasa tiga, selepas 60 peratus imunniti kelompok dicapai adalah selaras dengan pentingnya wabak ini dikawal terlebih dahulu.

"Garis masa yang konsisten ini menepis agenda politik pihak yang menuntut Parlimen untuk bersidang semula dengan segera," katanya.

Berita Harian X