Rabu, 16 Jun 2021 | 5:27pm
Peniaga, Amir Shahzuan Dzulkafli, 26, (dua kanan) bersama rakannya melayan pelanggan di gerai mereka di Taman Ipoh, Ipoh. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Peniaga, Amir Shahzuan Dzulkafli, 26, (dua kanan) bersama rakannya melayan pelanggan di gerai mereka di Taman Ipoh, Ipoh. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Perincikan sektor, industri terkesan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperincikan senarai sektor dan industri terkesan serta cadangan bantuan yang boleh disalurkan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata biarpun pelan dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat dialu-alukan, masih wujud kekurangan dari segi strategi serta langkah khusus mengenai cara membantu rakyat.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri semalam, Pelan Pemulihan Negara ini menggariskan strategi untuk membawa keluar negara daripada ancaman pandemik COVID-19.

"Pelan ini amat baik supaya negara mempunyai strategi serta panduan untuk mengembalikan rakyat kepada kehidupan normal. Bagaimanapun ada kekurangan yang perlu ditambah baik.

"Saya cadangkan pelan ini diisi dengan lebih banyak idea dan cadangan khusus menerangkan mengenai semua industri dan sektor terkesan supaya mereka boleh dibantu dan dibawa keluar daripada cengkaman masalah akibat COVID-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lam Thye berkata, selain matlamat dalam pelan terbabit, kerajaan perlu mempercepatkan proses vaksinasi rakyat menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK.

Katanya, tumpuan perlu diberikan dengan menggunakan semua sumber dan kekuatan yang ada untuk menjayakan matlamat mencapai imuniti kelompok.

"Jika negara mencapai status imuniti kelompok lebih awal, negara berupaya memulihkan ekonomi dengan cepat demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Muhyiddin semalam membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berperingkat daripada kemelut pandemik COVID-19.

Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Berita Harian X