Rabu, 16 Jun 2021 | 2:38pm
Suasana lengang di kawasan tumpuan pelancong gerai penjaja di Pantai Batu Hitam, Kuantan. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Suasana lengang di kawasan tumpuan pelancong gerai penjaja di Pantai Batu Hitam, Kuantan. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

MOTAC saran tenaga kerja subsektor divaksin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan pemberian vaksin kepada tenaga kerja beberapa subsektor perkhidmatan pelancongan yang dibenarkan beroperasi.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pemberian vaksin secara berperingkat bermula dengan 30,500 tenaga kerja di subsektor berkenaan.

Peringkat permulaan, katanya, keutamaan akan diberi kepada subsektor beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerusi Program Vaksinasi dan Sukarelawan MOTAC.

"Bagi menjayakan program ini, MOTAC mencadangkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya pemberian vaksin dibuat mengikut fasa dan angka diberikan.

"Ini penting kerana tenaga kerja dalam sektor pelancongan perlu bersama-sama rakyat untuk mempunyai daya ketahanan diri melawan virus COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nancy berkata, pihaknya berharap aktiviti pelancongan domestik dapat kembali rancak selepas kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan aktiviti pergerakan rentas negeri yang dijangka pada Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara, November depan.

Katanya, ia tertakluk kepada bilangan kes COVID-19 rendah, sistem kesihatan awam berada di tahap selamat dan program vaksinasi mencapai tahap imuniti kelompok.

"MOTAC juga menawarkan mana-mana fasiliti atau aset bersesuaian di bawah kementerian untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) jika diperlukan MOSTI bagi mempercepatkan proses vaksinasi.

"Beberapa lokasi sudah dikenal pasti seperti Kompleks Kraf, Kompleks JKKN dan Hotel Seri Malaysia di seluruh negara.

"MOTAC turut bekerjasama dengan pihak industri bagi tujuan penggunaan fasiliti hotel serta pusat konvensyen untuk dijadikan PPV," katanya.

Berita Harian X