Rabu, 16 Jun 2021 | 11:18am
- Hiasan (FOTO NSTP)
- Hiasan (FOTO NSTP)

AmanahRaya sokong Pelan Pemulihan Negara

KUALA LUMPUR: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menyokong sepenuhnya Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

AmanahRaya berkata, pihaknya yakin pelan terdiri daripada empat fasa itu sebagai strategi penuh peralihan untuk keluar dari kemelut pandemik COVID-19.

Malah katanya, pelan itu juga bakal mengembalikan keadaan ekonomi dan sosial negara kepada sedia kala.

"AmanahRaya maklum dengan keperluan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat serta tindakan kesihatan awam yang masih diteruskan dan perkembangan positif kadar vaksinasi negara yang kini mencapai 4.2 juta dos.

"Justeru, AmanahRaya optimis penurunan kes COVID-19 dalam komuniti dan nilai ambang yang ditetapkan akan dapat dicapai dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi keluar daripada COVID-19 dengan sasaran rakyat dapat kembali kepada kehidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

Strategi itu merangkumi empat fasa bermula bulan ini hingga Disember dan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawasan Pergerakan (PKP) secara berperingkat dengan setiap fasa pemulihan berpaksikan data bersandarkan tiga indikator ambang utama.

Tiga petunjuk itu adalah kadar penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi, iaitu berdasarkan peratusan populasi yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan.

Justeru, AmanahRaya menyeru orang ramai menerapkan amalan disiplin tinggi selaras saranan kerajaan, supaya kes harian dapat dikawal sepenuhnya dan membantu negara mencapai imuniti kelompok.

Berita Harian X