Selasa, 15 Jun 2021 | 5:51pm

Parlimen boleh bersidang seawal September

KUALA LUMPUR: Sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri ketika memberikan komitmen berhubung perkara itu berkata ia adalah pendirian beliau sejak dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai apabila kes COVID-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok.

Beliau turut menyuarakan tekad untuk terus mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi teras kedaulatan Malaysia.

"Saya akan terus mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19," katanya ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara, hari ini.

Muhyiddin berkata, pembukaan semula sidang Parlimen berupaya dilakukan menjelang fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara apabila beberapa keadaan semasa di dalam negara, khususnya berkaitan pandemik COVID-19 melakar perkembangan positif.

Katanya, ia merangkumi penurunan purata kes harian COVID-19 sehingga bawah 2,000 kes, manakala sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penyusutan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi.

"Selain itu, 40 peratus populasi negara ini menerima dua dos suntikan vaksin. Nilai ambang fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara ini dijangka dapat dicapai paling awal akhir Ogos depan," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 4 Jun lalu dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat secara maya dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalan-Timbalan Yang DiPertua bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan.

Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan kritikan dan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang, bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

Bagaimanapun, baginda pada 24 Februari lalu, bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, 2 Jun lalu dilaporkan berkata pembukaan semula Parlimen bakal membantu kerajaan dalam memerangi COVID-19 dengan meningkatkan pemahaman rakyat mengenai dasar berkaitan wabak itu dan kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember tahun lalu. Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan dan berkuat kuasa pada 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan menggariskan sebarang peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, tidak mempunyai kesan dan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, mana-mana mesyuarat Parlimen yang dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa ordinan itu, tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

Jemaah Menteri pada 3 Mac lalu membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat selepas mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Hal itu kerana Perkara 150 (2B) dalam Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

Berita Harian X