Isnin, 14 Jun 2021 | 8:14pm
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran

Pemilihan ketat calon Naib Canselor

KUALA LUMPUR: Pelantikan naib canselor sesebuah universiti memerlukan pemilihan teliti menerusi tatacara proses saringan ketat di peringkat institusi dan Kementerian Pengajian Tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Senada dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengenai kriteria pelantikan, Mohammad Shatar berpandangan calon naib canselor perlu mempunyai wawasan jauh untuk membawa institusi pimpinannya ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata, pelantikan itu bukanlah sesuatu yang boleh dibuat sembarangan kerana ia bakal menentukan hala tuju dan kejayaan universiti berkenaan.

Katanya, banyak kriteria perlu dilihat dalam pemilihan itu, terutama pengalaman mentadbir urus dan memacu organisasi membawa visi dan misi universiti.

"Calon naib canselor bukanlah individu yang hanya hebat dalam bidang kepakarannya seperti cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, malah perlu serba boleh dalam aspek lain terutama membabitkan kepemimpinan, mempunyai afiliasi dengan industri dan golongan akademia di peringkat nasional serta antarabangsa.

"Penting bagi seseorang naib canselor mempunyai kemahiran insaniah yang mantap bagi mengetuai warga universiti yang bersifat dinamik, memahami cita rasa, perasaan serta aspirasi mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Shatar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam berkata demikian ketika mengulas isu pelantikan lima naib canselor universiti awam (UA) yang didakwa mengalami kelewatan, baru-baru ini.

Katanya, pemilihan juga perlu mengambil kira impak ditunjukkan calon melalui kejayaan mereka dalam menerajui program signifikan terhadap pembangunan universiti.

Beliau berkata, seseorang calon perlu mempunyai resume mantap dalam pelbagai aspek, terutama dalam dunia VUCA yang merujuk volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas) kini.

"Semua kriteria ini perlu diteliti sebelum individu dipilih sebagai naib canselor kerana akhirnya hasil yang mahu dilihat ialah terjemahan kecemerlangan sesebuah universiti itu yang paling mudah dibuktikan menerusi penarafan universiti dunia.

"Kualiti pendidikan tinggi di negara ini sudah terbukti bertaraf antarabangsa dengan tersenarainya 22 universiti dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022.

"Justeru, ia perlu dikekalkan dengan melantik pemimpin universiti yang mampu melonjakkan lagi Malaysia untuk memenuhi hasrat menjadi hab pendidikan global," katanya.

Berita Harian X