Isnin, 14 Jun 2021 | 10:03am
Unjuran 4,000 kes menjelang hujung bulan ini
Unjuran 4,000 kes menjelang hujung bulan ini

Unjuran 4,000 kes menjelang hujung bulan ini

KUALA LUMPUR: Unjuran setakat semalam menunjukkan kadar penularan harian berupaya susut hingga ke paras bawah 4,000 kes, menjelang penghujung bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata unjuran itu mampu dicapai sekiranya masyarakat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kadar kebolehjangkitan atau Rt kurang dari 0.9.

"Kadar kebolehjangkitan COVID-19 pada jangkaan mengikut kes harian pada 13 Jun (semalam) untuk seluruh negara ialah 0.91," katanya menerusi akaun Twitter rasminya, @DGHisham, semalam.

Menerusi graf yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM), Rt mula merekodkan penyusutan apabila turun dari 1.16 pada 29 Mei lalu kepada 1.12, keesokan harinya.

Perangkaan itu terus berkurang saban hari hingga mencecah paras terendah, iaitu 0.9 kelmarin, sebelum meningkat sedikit kepada 0.91 semalam, hasil pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' sejak 1 Jun lalu.

Jika dibandingkan dengan Rt berkadar 0.91 di seluruh negara, beberapa negeri dilihat masih mencatatkan perangkaan lebih tinggi seperti Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 1.12, Sabah (1.1), Negeri Sembilan (1.03), Sarawak (1), Wilayah Persekuan Kuala Lumpur (0.99), Johor (0.97), Selangor (0.96), Melaka (0.94), Perak (0.93) dan Pulau Pinang (0.92).

Negeri seperti Perlis pula mencatatkan Rt terendah dan di bawah paras kebangsaan iaitu 0.78, selain Kelantan (0.79), Kedah (0.83), Pahang (0.87) dan Terengganu (0.83).

Berita Harian X