X
Ahad, 13 Jun 2021 | 7:39pm
 Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Tumpu infrastruktur kesihatan, jana ekonomi rakyat

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara yang akan dibentangkan kerajaan perlu selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pelan itu mesti diselaraskan dengan memastikan jaminan terhadap tiga fokus utama iaitu rakyat, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhan.

"Ia mesti selari dengan RMKe-12 yang akan dibentangkan tidak lama lagi dan WKB 2030 kerana kedua-duanya amat penting yang tidak sepatutnya berlawanan dengan pelan akan dibentangkan itu," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengumumkan Pelan Pemulihan Negara akan dibentangkan sebagai persiapan untuk Malaysia keluar dari kemelut COVID-19.

Beliau berkata, pelan itu bersandarkan data, sains dan segala persiapan diperoleh dari sudut pengurusan pandemik, ekonomi dan program vaksinasi negara.

Katanya, ia juga mesti bersifat jangka panjang bagi memastikan proses pemulihan dibuat secara tersusun.

Ahmed Razman berkata, antara fokus utama diharapkan pada Pelan Pemulihan Negara adalah tumpuan kepada penyediaan infrastruktur kesihatan.

"Faktor kesihatan akan jadi isu penting bukan hanya disebabkan COVID-19, tetapi aspek itu sudah menjadi keutamaan masyarakat.

"Antara lain, fokus juga perlu diberi terhadap keupayaan negara dalam pengeluaran vaksin. Kita tidak ada keupayaan mencipta vaksin atau bekerjasama dengan pengeluarnya, misalnya ada kilang untuk pastikan vaksin dikeluarkan dengan cepat," katanya.

Ahmed Razman berkata, pada masa sama, kerajaan disaran menangani isu ekonomi rakyat yang semakin kritikal.

"Masalah utama adalah ramai hilang pendapatan, pekerjaan dan simpanan semakin berkurangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan mereka.

"Justeru, kerajaan perlu fikir cara membantu dengan menjana peluang pekerjaan menawarkan pendapatan lebih tinggi dan memulihkan ekonomi rakyat termasuk dari segi pelaburan, simpanan, kemampuan memiliki rumah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pelan khusus untuk pemulihan perniagaan terutama bagi membantu sektor terjejas seperti pelancongan, pengangkutan dan hiburan juga perlu diberi perhatian kerana ia antara yang masih belum pulih sejak bermulanya pandemik pada tahun lalu.

"Paling penting ketika ini adalah cipta peluang pasaran, rantaian bekalan dan penerokaan pasaran baharu yang boleh dilakukan melalui pendigitalan," katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu memperhalusi kaedah terbaik membuka semula ekonomi secara berperingkat, termasuk memastikan data diperoleh mengenai kes positif COVID-19 adalah tepat, berintegriti dan dikaji secara menyeluruh.

"Jika boleh, bukan hanya maklumkan jumlah jangkitan baharu setiap hari, tetapi kita perlu tahu kes positif COVID-19 ketika ini disahkan sebelum atau selepas PKP 3.0.

"Ini penting untuk mengetahui kesan PKP 3.0 dan jika ada indikasi kes menurun, data ini boleh digunakan untuk membuat keputusan membenarkan sektor ekonomi dibuka secara berperingkat atau lebih banyak," katanya.

Berita Harian X