Ahad, 13 Jun 2021 | 4:48pm

Perkukuh sistem kesihatan awam, vaksin penting dalam pelan pemulihan

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara boleh berjaya sekiranya sistem kesihatan awam diperkukuh dan berada di tahap terbaik dengan mengambil kira kapasiti tenaga kerja, peralatan, ubat-ubatan dan perkhidmatan vaksinasi secara menyeluruh.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon, berkata pelan untuk keluar dari kemelut COVID-19 perlu dilaksanakan selari dengan strategi am yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"WHO sudah menggariskan enam prinsip umum yang turut mengambil kira kemampuan sistem kesihatan, jadi kita (Malaysia) perlu membangunkan strategi dan kemudian aktiviti ke arah itu.

"Ada banyak perkara, pertama kena pastikan masalah kekurangan tenaga kerja termasuk doktor, jururawat dan atendan dapat diatasi. Bagi memastikan kita dapat keluar dari kepompong COVID-19, faktor tenaga kerja perlu dimantapkan terlebih dahulu.

"Selain itu, kriteria penting adalah dari segi peralatan dan kemudahan yang ada di sistem kesihatan awam. Perlu ambil kira situasi semasa, misalnya adakah unit rawatan rapi (ICU), wad untuk menampung pesakit COVID-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) mencukupi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan kerajaan akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara dalam tempoh seminggu akan datang sebagai persiapan untuk Malaysia keluar dari kemelut COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara akan dibentangkansebagai persiapan untuk Malaysia keluar dari kemelut COVID-19.

Menurut Muhyiddin, pelan itu adalah bersandarkan data, sains dan segala persiapan yang diperoleh dari sudut pengurusan pandemik, ekonomi dan program vaksinasi negara.

Dr Rohaizat juga berkata, kebolehcapaian terhadap perkhidmatan vaksinasi dan bekalan yang mencukupi juga antara elemen penting bagi memastikan kejayaan kerangka Pelan Pemulihan Negara.

"Kita lihat masyarakat sudah berubah dan mula kepentingan vaksinasi. Persoalannya adakah bekalan vaksin dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada boleh menampung keperluan itu.

"Pada saya, pemberian suntikan pelalian bagi fasa tiga perlu disegerakan bagi memastikan penularan jangkitan dapat diturunkan.

"Jika dilihat, golongan berumur 20 hingga 40 tahun adalah kumpulan terbesar penyumbang kes positif COVID-19 ketika ini dan kelompok ini juga yang banyak melakukan aktiviti di luar termasuk bekerja," katanya.

Tambahnya, antara strategi yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan adalah memperbanyakkan pembukaan PPV berskala sederhana.

"Tidak perlu buka terlalu banyak PPV mega, sebaliknya wujudkan PPV berskala sederhana supaya orang ramai tidak tertumpu dan bersesak di lokasi yang sama, memudahkan orang awam dan lebih penting mengelakkan penularan COVID-19.

"Melalui PPV berskala sederhana ini, buatlah lebih banyak di tempat yang mudah diakses oleh rakyat," katanya.

Beliau turut menegaskan, dalam keadaan kritikal dengan sistem kesihatan awam berdepan pelbagai cabaran besar, penilaian bukan hanya dibuat berdasarkan angka kes harian COVID-19 tetapi perlu lebih menyeluruh melihat kepada situasi semasa.

Berita Harian X