Ahad, 13 Jun 2021 | 2:22pm

Naib canselor perlu versatil

KELEWATAN mengisi kekosongan jawatan naib canselor di lima universiti awam (UA) sejak awal tahun ini jarang berlaku, sehingga mengundang pelbagai tafsiran.

Wartawan BH, Suzalina Halid, mendapatkan komen Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose mengenai isu di sebalik kelewatan pelantikan jawatan utama universiti itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. - Foto NSTP
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. - Foto NSTP

Soalan (S): Mengapa pelantikan naib canselor di lima UA lambat dibuat?

Jawapan (J): Proses ini dilaksana berdasarkan garis panduan dikeluarkan pada peringkat kementerian. Proses pencarian calon akan diiklankan secara terbuka oleh pihak universiti bagi memastikan lebih ramai calon berkelayakan berpeluang mengemukakan permohonan berdasarkan kriteria ditetapkan.

Senarai panjang calon disaring oleh jawatankuasa saringan pada peringkat universiti yang turut mengambil kira pelan penggantian dalaman universiti dan sumber pencalonan lain, sebelum dikemukakan kepada kementerian untuk proses temu bual. Selain kompetensi calon sebagai ahli akademik, apa lebih utama adalah calon mesti mempunyai kualiti kepemimpinan dan berintegriti.

Kementerian kini dalam proses melaksanakan temu bual calon naib canselor untuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), manakala untuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sudah pun dijalankan dan calon yang berjaya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

S: Bagaimana proses lantikan naib canselor dilakukan dan siapa terbabit?

J: Selepas saringan awal pada peringkat universiti, senarai calon akan dikemukakan kepada kementerian untuk disenarai pendek dan diserahkan kepada Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) untuk pemprofilan kompetensi kepemimpinan institusi dan akademik.

Laporan pemprofilan itu kemudian dibentangkan Pengarah AKEPT kepada Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam, sebelum sesi temu bual oleh jawatankuasa dilaksanakan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Pengerusi Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM), Tan Sri Zarinah Anwar.

Selain kriteria umum ditetapkan kementerian, pihak universiti diberi kebebasan mengenal pasti kriteria khusus bersesuaian bidang tujahan serta misi dan visi universiti berkenaan. Kementerian menghormati autonomi universiti dalam proses ini melalui pembabitan penuh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) pada peringkat saringan awal, seterusnya Pengerusi LPU dan senat universiti juga dijemput hadir sebagai ahli 'co-opted' semasa sesi temu bual calon yang sudah disenarai pendek peringkat kementerian.

S: Apa pula peranan Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor UA?

J: Jawatankuasa ini ditubuhkan selepas Akta 30 dipinda pada 2012 memperuntukkan seksyen khas bagi tujuan ini. Keanggotaan jawatankuasa ini terdiri tokoh tempatan dengan latar belakang tadbir urus korporat dan kepemimpinan akademik. Peranan utamanya, menjalankan temu bual calon disenarai pendek kementerian dan penilaian calon dilaksana berdasarkan kriteria umum sera khusus.

Pengerusi LPU dan wakil senat universiti turut dijemput hadir semasa sesi temu bual sebagai ahli 'co-opted' dan memberi input kepada jawatankuasa dari sisi pandang warga universiti itu sendiri. Jawatankuasa seterusnya membuat syor kepada menteri akan senarai calon yang berpotensi dilantik selepas mengambil kira latar belakang kepemimpinan dan prestasi calon ketika sesi temu bual serta input ahli 'co-opted'.

Jawatankuasa bertanggungjawab menjaga kerahsiaan proses ini untuk mengelak sebarang pengaruh luar yang boleh menjejaskan keputusan kelak.

S: Pemilihan selalu dikaitkan sama ada mengikut kerajaan hari ini atau hubungan dengan menteri?

J: Perkara utama ditekankan ialah merit dan kesesuaian calon mengemudi institusi menara gading yang mempunyai keunikan tersendiri. Sementelahan warganya terdiri intelektual mempunyai pelbagai latar belakang, pegangan dan idea dalam memastikan proses transformasi institusi sentiasa berlaku seiring perkembangan semasa.

Bagaimanapun, penting juga bagi naib canselor dilantik mengamalkan konsep berkecuali iaitu prinsip umum dipegang kakitangan sektor awam iaitu berkhidmat tanpa berbelah bahagi dengan kerajaan memerintah.

S: Kelewatan pelantikan naib canselor menyukarkan UA, terutama dalam mendepani pandemik?

J: Keputusan penting membabitkan pengurusan pelajar, pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan perlu dibuat dengan bijaksana bagi mengurangkan impak negatif pandemik terhadap pengurusan universiti secara keseluruhannya.

Sepanjang tempoh kekosongan jawatan naib canselor, saya sudah melantik seorang timbalan naib canselor bagi setiap universiti berkenaan untuk menjalankan fungsi naib canselor sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 30. Pada masa sama, saya sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mendapatkan dan mempercepatkan tarikh sesi temu bual calon naib canselor universiti berkenaan daripada Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor UA. Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada juga ditambah baik supaya tidak lagi berlaku kelewatan ketara dalam proses pemilihan naib canselor pada masa hadapan.

S: Apakah kriteria diperlukan untuk dilantik sebagai naib canselor?

J: Penilaian bukan sahaja pada kecemerlangan akademik calon, tetapi mengambil kira pengalaman kepemimpinan institusi. Ini boleh dilihat berdasarkan impak ditunjukkan melalui kejayaan calon menerajui program signifikan terhadap pembangunan universiti.

Kriteria utama perlu ada sebagai naib canselor ialah mempunyai visi dan misi dalam menentukan hala tuju universiti, berwawasan jauh untuk meningkatkan prestasi universiti, terutama dalam 'bisnes utama' iaitu melahirkan graduan holistik dan hasil penyelidikan yang mampu dikomersial serta dimanfaatkan masyarakat sejagat.

Calon mempunyai pemikiran terbuka dari sudut menghargai dan meraikan kepelbagaian latar belakang warga kampus serta menguruskan perbezaan itu dengan baik, mempunyai keperibadian dihormati, menunjukkan tahap integriti tinggi dan boleh dijadikan teladan yang baik oleh warga universiti, terutama dalam kalangan pelajar sebagai pemegang taruh utama.

Calon harus mempunyai iltizam menjadikan universiti institusi yang memberikan sumbangan besar kepada masyarakat dan negara, mempamerkan tahap kepemimpinan cemerlang, mengetahui selok-belok aktiviti akademik dan penyelidikan, berupaya untuk libat urus bersama pihak industri dan komuniti, menjadi rujukan rakan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang seterusnya membawa jenama universiti ke peringkat lebih tinggi, mempunyai kepentingan dalam bidang kepakaran dan disiplin ilmunya.

Sumbangan calon juga diambil kira melalui pengiktirafan dan peranannya dalam dunia akademik, afiliasi dalam pertubuhan dan badan profesional berprestij serta anugerah lain yang mengiktiraf sumbangan calon kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Sudah semestinya, calon perlu berkeperibadian luhur, memelihara tradisi tempatan, memahami landskap sosioekonomi dan politik tempatan serta peka dengan perkembangan pengajian tinggi di serata dunia.

S: Dalam keadaan UA digalakkan menjana kewangan sendiri, apakah perlu naib canselor dilantik dalam kalangan berlatar belakang bisnes atau korporat?

J: Naib canselor boleh dilantik dalam kalangan bukan ahli akademik dan ia dibuktikan sebelum ini di Universiti Malaya, malah mampu menyuntik elemen tadbir urus korporat yang baik selari tuntutan semasa.

Calon memenuhi ciri bisnes atau korporat memberi nilai tambah dalam pengurusan universiti dan mampu memberikan anjakan pemikiran dalam mengurus perubahan serta merancakkan aktiviti pengkomersialan hasil penyelidikan sebagai satu cabang penjanaan pendapatan universiti.

Bagaimanapun, calon daripada luar kelompok akademik harus bersedia menghadapi cabaran dalam menguruskan warga kampus yang dinamik. Dalam hal ini, kementerian terbuka membuat pertimbangan wajar bagi menentukan kepemimpinan nombor satu sesebuah universiti.

Jika naib canselor berupaya mengurangkan kebergantungan universiti terhadap dana diperuntukkan kerajaan, maka itu satu kejayaan besar sektor pengajian tinggi dan boleh dijadikan penanda aras dalam pengurusan kewangan Badan Berkanun Persekutuan.

S: Dalam keadaan semakin mencabar, UA memerlukan seorang teraju yang versatil. Apa komen?

J: Saya setuju, malah aspek kebolehpasaran graduan antara agenda sering diperdebatkan pada peringkat nasional. Naib canselor bakal dilantik perlu melihat perkara ini dalam horizon lebih luas dan keluar daripada zon selesa kelompok akademik semata-mata.

Libat urus bersama industri dan majikan harus dipergiatkan dan di sinilah perlunya naib canselor serba boleh yang mampu berperanan dengan berkesan. Jika transformasi diperlukan sesebuah universiti dalam usaha memperbaiki tahap kebolehpasaran graduan, maka naib canselor adalah individu pertama harus turun padang mendapatkan input pihak berkepentingan dan menjalinkan hubungan baik pada segenap lapisan masyarakat.

Imej naib canselor yang baik juga boleh menjadi aset dan mengukuhkan jenama universiti, seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan. Hasil kepercayaan industri umpamanya terhadap kemampuan naib canselor mewujudkan ekosistem pendidikan kondusif yang dapat melahirkan graduan versatil dan kalis cabaran.

Kementerian juga amat menggalakkan graduan menceburi bidang keusahawanan dan naib canselor harus memahami hakikat bahawa kerja makan gaji bukan lagi pilihan utama masa kini.

Pendidikan tinggi mesti bebas politik

Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose. - Foto NSTP
Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose. - Foto NSTP

Soalan (S): Apakan komen Datuk mengenai kelewatan pelantikan Naib Canselor di lima universiti awam (UA)?

Jawapan (J): Kelewatan mendedahkan kelemahan pelaksanaan sistem yang ada kerana kekosongan jawatan itu bukan datang tiba-tiba dan penggantian boleh dirancang sebaiknya. Sebagai contoh daripada lima UA itu, dua naib canselor sudah menamatkan tempoh, dua dipendekkan tempoh lantikan dan satu lagi dicadang ganti atas alasan tertentu.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya menteri, mungkin mempunyai alasan tersendiri, namun secara umumnya kelewatan sebegitu tidak harus berlaku. Ia turut memberi ruang kepada mana-mana pihak mengaitkannya dengan prestasi kementerian dan menteri yang menjalankan fungsinya dalam aspek itu.

Secara umum, proses dan tatacara pelantikan naib canselor sangat rapi dan serupa amalan universiti terkemuka luar negara. Namun, bezanya dan menjadikan keseluruhan proses itu tidak bermakna kerana kuasa mutlak akhirnya masih terletak kepada pihak menteri yang akan memilih seperti ditetapkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Saya berpendapat kuasa pemilihan akhir itu perlu dikaji semula dan diaturkan supaya setiap peringkat dan proses pemilihan mempunyai kadar peratusan tertentu supaya lebih objektif dan tidak dipengaruhi elemen lain yang tidak berkaitan kecemerlangan akademik. Perkara ini banyak juga diamalkan universiti di luar negara.

S: Benarkah pelantikan jawatan Naib Canselor dipengaruhi kuasa politik?

J: Saya suka mempercayai kebanyakan lantikan naib canselor dibuat mengikut prosedur dan tatacara ditetapkan. Namun, daripada pemerhatian saya terhadap proses pelantikan sejak lebih tiga dekad lalu dan pengalaman dialami, memang tidak boleh dinafikan wujud pengaruh dan kuasa politik itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Sebagaimana diperkatakan sebelum ini, walaupun proses dan prosedur pemilihan calon bertaraf dunia dan sangat berwibawa, kuasa pemutus masih pada tangan menteri secara mutlak. Kita juga boleh membayangkan pihak menteri mungkin tidak bebas membuat keputusannya bersendirian kerana masih berpotensi tertakluk pihak lain sama ada secara horizontal atau vertikal, langsung atau tidak langsung.

Bagaimanapun, saya suka membayangkan pihak menteri semestinya amat berhati-hati dalam soal pemilihan peneraju universiti kerana akan banyak menentukan prestasi universiti berkenaan dan seterusnya juga menjadi cerminan prestasi menteri apabila dilihat prestasi sektor pendidikan tinggi negara secara keseluruhannya.

Namun, sesuatu yang amat malang kepada dunia pendidikan tinggi kerana sifatnya seharusnya bebas dan tidak diganggu gugat oleh pengaruh serta kuasa politik.

S: Bukankah kelewatan pelantikan menyukarkan universiti yang turut bergelut akibat pandemik?

J: Kita mengambil maklum bahawa KPT sudah membuat aturan setiap universiti yang mempunyai kekosongan naib canselor dilantik pemangku terdiri timbalan naib canselor yang menjalankan fungsi naib canselor. Kita juga menyedari proses pencarian calon seperti amalan biasa sudah dan sedang dilakukan.

Terbaru, KPT memaklumkan pengumuman pelantikan naib canselor di dua universiti itu akan dibuat pada masa terdekat. Namun perlu kita akui, kelewatan melantik naib canselor di lima UA sedikit sebanyak memberi kesan kepada tumpuan universiti berkenaan untuk mengambil tindakan lebih kukuh dan berkesan.

S: Apakah kriteria utama diperlukan naib canselor dan mestikah dilantik dalam kalangan akademik?

J: Kita perlu sedar tahap kemajuan dan pembangunan, tumpuan atau fokus utama sebagaimana ditetapkan sebagai asas penubuhan dan bakat serta sumber yang ada, antara perlu diambil kira dalam proses pemilihan naib canselor universiti. Namun, saya berpendapat umumnya tiga kriteria utama perlu diberi tumpuan.

Pertama, calon perlu mempunyai 'kedudukan akademik' yang dihormati dan boleh dijadikan model oleh warga akademik sama ada dalam atau luar universiti. Bayangkan keadaan dalam sesebuah universiti yang mempunyai ratusan atau puluhan profesor dan ahli akademik yang pakar dalam bidang masing-masing yang bakal dipimpin seorang naib canselor dalam aspek kemajuan kerjaya dan pencapaian akademik mereka. Dalam konteks universiti, naib canselor akan mengetuai senat iaitu badan tertinggi akademik yang menentukan hala tuju dan kualiti akademik yang ditawarkan.

Naib canselor dan barisan kepemimpinannya perlu mempunyai tahap kefahaman tinggi mengenai keperluan semasa pasaran, menyesuaikan tawaran akademik di samping mempunyai agenda tertentu untuk membangun dan meningkatkan prestasi universiti secara keseluruhannya. Ringkasnya, seorang naib canselor perlu mempunyai keupayaan menawarkan kepemimpinan akademik kepada semua warga dan universiti keseluruhannya.

Kedua, kemahiran pengurusan organisasi yang berkesan dan efektif. Sebagaimana disebutkan dalam perlembagaan semua universiti, naib canselor adalah ketua eksekutif yang menjalankan pengawasan am ke atas semua perkiraan mengenai pengajaran, penyelidikan, kewangan, pentadbiran, di samping kebajikan dan tatatertib pelajar serta kakitangan.

Seseorang naib canselor yang baik sentiasa mempunyai gaya kepemimpinan yang boleh menentukan visi dan misi universiti difahami dengan jelas, menyediakan struktur organisasi yang boleh menterjemahkan objektif universiti, menyediakan persekitaran harmoni dan saling menghormati, mempunyai budaya kecemerlangan dan prestasi tinggi serta sentiasa memberi tumpuan kepada kebajikan warga universiti sama ada kakitangan atau pelajar.

Ketiga, kemahiran komunikasi dan jaringan yang baik dengan semua pihak sama ada kementerian dan agensi pusat, kerajaan negeri, pihak industri dan juga dalam kalangan komuniti akademik dalam dan luar negara.

S: Dalam konteks cabaran semasa, apakah strategi dan pendekatan diambil memadai untuk membawa pendidikan tinggi negara ke arah lebih tinggi?

J: Sejak lebih setahun lalu, kampus universiti beroperasi secara amat terhad dan proses pembelajaran dilakukan dalam talian, manakala urusan lain banyak perlu diubah suai. Kita juga menyaksikan perkembangan pesat dalam segala aspek kehidupan masyarakat akibat ledakan teknologi di bawah Revolusi Industri 4.0 termasuk teknologi automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan internet untuk segalanya (IoT), komunikasi dan sebagainya.

Semua perkembangan ini perlu disambut universiti dan sektor pendidikan tinggi negara dengan tindak balas strategik untuk menentukan supaya universiti sentiasa relevan dengan tuntutan semasa. Segala aspek perancangan dan pelan tindakan universiti perlu dilihat semula dan disuai padan dengan sumber serta kepakaran yang ada. Pada peringkat pusat juga kelihatan ada keperluan sangat besar untuk melihat dan mengkaji semula kesesuaian aspek tertentu dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara.

MPN juga berkongsi keresahan dan kegusaran nasib sektor pendidikan tinggi swasta yang sangat terkesan dengan cabaran pandemik ini. Satu task force perlu dibentuk untuk melihat cabaran dihadapi mereka. Difahamkan hampir separuh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) khasnya bersaiz kecil berisiko untuk terkubur kerana menghadapi masalah kewangan serius akibat penutupan kampus dan tahap persediaan rendah untuk menjalankan operasi pembelajaran dalam talian.

Dalam aspek pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara pula, kita dapati negara menghadapi trend penurunan sangat ketara dalam kemasukan pelajar luar dan sasaran untuk mencapai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2023 hampir pasti tidak akan tercapai. Dilihat dari sudut lain berkaitan pencapaian sektor pendidikan tinggi negara pula, kita dapati prestasi semua universiti utama negara dalam kedudukan ranking sedikit merosot berbanding tahun sebelumnya.

MPN berharap, semua pihak khasnya warga akademik negara bersama berganding bahu menghadapi cabaran mendatang. Ia perlu dilakukan dengan rasa tanggungjawab, amanah dan keikhlasan untuk menentukan negara akan terus maju dan makmur di sebalik segala cabaran dihadapi.

Berita Harian X