Jumaat, 11 Jun 2021 | 12:57pm
 Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan

'Buat kajian holistik punca kejayaan SPM kali ini'

KUALA LUMPUR: Kajian secara holistik perlu dilakukan bagi mengenal pasti faktor penyumbang kepada keputusan terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 meskipun

peperiksaan itu berlangsung dalam suasana mencabar dan terpalit beberapa isu serta kekangan ekoran penularan COVID-19.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi pakarnya perlu menjalankan kajian itu terutama bagi mendapatkan maklumat sebenar bagaimana keputusan calon di kawasan luar bandar lebih baik berbanding di bandar.

Beliau berkata, kewajaran kajian itu berikutan murid di luar bandar selalu berdepan kepayahan dari segi capaian akses internet dan peranti untuk digunakan ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Kejayaan cemerlang dalam SPM sangat membanggakan terutama bagi pelajar luar bandar, sekali gus menunjukkan walaupun berdepan kekangan kemudahan seperti capaian internet dan alat peranti, mereka menunjukkan kesungguhan untuk berjaya.

"Ini juga membuktikan guru memberi komitmen terbaik memastikan pelajar mencapai kejayaan, selain pelaksanaan PdPR dilalui berhasil dengan kerjasama sekolah, guru dan ibu bapa.

"Bagaimanapun, perlu kajian menyeluruh daripada pakar pendidikan KPM untuk melihat bagaimana keputusan SPM ini menjadi keputusan terbaik sepanjang lima tahun bagi menjelaskan isu dibangkitkan terutama pelajar luar bandar lebih baik dari bandar sedangkan mereka berdepan isu akses internet dan peranti pintar," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan keputusan SPM 2020 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu yang menunjukkan peningkatan 0.6 mata iaitu sebanyak 4.80 berbanding 4.86 bagi SPM 2019.

Pencapaian SPM pada 2018 adalah 4.89, 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).

Turut diumumkan pencapaian calon luar bandar SPM 2020 adalah 5.06, manakala bandar adalah 4.68 dengan jurang pencapaian antara kedua-dua kawasan itu mengecil kepada 0.38 pada 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu 0.44.

Selain itu, Mohd Azizee juga mahu KPM menjelaskan seramai 19.601 calon tidak hadir menduduki SPM 2020.

"Adakah calon berkenaan berada di kawasan kuarantin? Ini perlu dirungkai dengan jelas," katanya.

Berita Harian X