Khamis, 10 Jun 2021 | 8:51pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Masih ramai tak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR: Seramai 208 ditahan kerana gagal memakai pelitup muka, manakala 147 lagi kerana gagal merekod butiran diri dan mendaftar ketika masuk ke premis menerusi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara, semalam.

Mereka sebahagian daripada 907 individu yang ditahan kerana ingkar SOP dengan 877 dikenakan kompaun, 28 direman manakala dua lagi dijamin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesalahan lain yang direkodkan adalah rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran serta makan di premis (147) dan tiada penjarakan fizikal (123).

"Selain itu, 81 ditahan kerana tidak patuh arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan (79), aktiviti pusat hiburan (28), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain kesalahan (83).

"Semalam, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 102,633 pemeriksaan membabitkan 4,413 pasukan terdiri daripada 20,762 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan SOP Perintah Kawalan Pergerakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata dua kenderaan darat dan sebuah bot dirampas menerusi Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.

Selain itu, pasukan keselamatan yang membuat kawalan di sempadan perairan negara turut mengesan 75 bot dan kapal melalui 18 aktiviti penglihatan.

"Sebanyak 165 operasi sanitasi awam dilakukan di seluruh negara, semalam meliputi 75 zon merah, satu zon jingga dan empat zon kuning.

"Operasi membabitkan 1,028 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 190 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 156 buah jentera JBPM," katanya.

Semalam juga, katanya seramai 548 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 771 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (580), pemborong (160) dan pengilang (31), semalam.

"Anggota penguatkuasan kementerian itu turut menjalankan 1,817 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 1,807 premis didapati mematuhi SOP manakala 10 lagi dikompaun," katanya.

Berita Harian X