Khamis, 10 Jun 2021 | 8:18pm
 Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KKM kesan 60 kluster perayaan Aidilfitri, Hari Gawai

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai, setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 58 kluster membabitkan sambutan Aidilfitri, menjadikannya kluster tertinggi, manakala bakinya adalah Hari Gawai.

Katanya, situasi itu disifatkan sebagai serius dan membimbangkan kerana ia berlaku dalam tempoh singkat iaitu antara 13 Mei hingga 10 Jun.

"Negeri tertinggi mencatatkan kluster perayaan ialah Sabah dengan 11 kluster, diikuti Sarawak (8) dan Kedah dengan tujuh kluster. Daripada jumlah kluster dikesan itu, sebanyak 13,023 individu sudah disaring dan 3,511 kes positif COVID-19 dikenal pasti.

"Ia menjadikan kadar positif sebanyak 27 peratus. Daripada jumlah kes positif dikenal pasti itu, terdapat 20 kes kematian, manakala 11 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jika masyarakat masih leka dan tidak mengambil iktibar serta pengajaran daripada aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri ketika musim perayaan, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak akan berulang di Malaysia.

"Semua pihak bertanggungjawab melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini," katanya.

Mengulas jumlah kluster baharu dilaporkan di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 22 kluster dikesan membabitkan 18 kluster tempat kerja, tiga membabitkan komuniti, manakala satu bagi aktiviti keagamaan.

"Kluster tempat kerja dikenali sebagai Kluster Industri Kampung Jaya; Kluster Jalan Dua Olak Lempit; Kluster Jalan Perindustrian Balakong Jaya Dua; Kluster Jalan Tiga Salak Tinggi; Kluster Jalan Tanjung Klang dan Kluster Tapak Bina Alam Perdana.

"Selain itu Kluster Jalan SS Lapan Empat; Kluster Ploteknologi; Kluster Jalan Besar Batu Enam; Kluster Jalan Bukit Satu Zink dan Kluster Jalan Bandar Pasir Gudang," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu ialah Kluster Jalan Seri Austin, Kluster Jalan Lee Bah Chai, Kluster Jalan Perusahaan Maju Empat, Kluster Lebuh Sungai Tiram Satu dan Kluster Jalan Besar Perai.

"Dua lagi kluster tempat kerja ialah Kluster Tapak Bina Jalan Kolam Air dan Kluster Dah Pekan Rabu. Kluster komuniti pula dikenali sebagai Kluster Bali Pie, Kluster Jalan Samarakan dan Kluster Kampung Lakai.

"Kluster terakhir membabitkan aktiviti keagamaan iaitu Kluster Kampung Lobou," katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 5,671 kes baharu dilaporkan hari ini dan Selangor kekal negeri tertinggi mencatatkan kes baharu dengan 1,510 kes dilaporkan.

Beliau berkata, pertambahan kes berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 meningkat ke 639,562 kes, sekali gus menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 79,848 kes.

"Sehingga kini, 911 kes sedang dirawat di ICU, manakala 462 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, 73 kes kematian hari ini, membabitkan pesakit berusia antara 13 hingga 104 tahun.

"Sebanyak 29 kes kematian di Selangor, Johor (11); Negeri Sembilan (8) dan masing-masing empat dilaporkan di Kedah, Kuala Lumpur, Labuan dan Pulau Pinang.

"Selain itu, tiga kes di Pahang, Kelantan (2) dan masing-masing satu kes di Melaka, Sabah, Terengganu dan Perak," katanya.

Berita Harian X