Khamis, 10 Jun 2021 | 4:11pm

Kerajaan buat yang terbaik bendung COVID-19

PUTRAJAYA: Kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh memainkan peranan masing-masing dengan memastikan diri mereka divaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Ini penting untuk memastikan ekonomi kita mampu pulih dan kembali berkembang mulai separuh kedua tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-56, hari ini.

Menurutnya, program vaksinasi yang lancar dan jumlah orang ramai yang mendapat vaksinasi meningkat mampu melonjakkan ekonomi negara.

Jururawat sedang melakukan suntikan kepada salah seorang penerima vaksin. - Foto hiasan
Jururawat sedang melakukan suntikan kepada salah seorang penerima vaksin. - Foto hiasan

Memetik laporan oleh Moody's Investors Service baru-baru ini yang memberikan penarafan A3 kepada Malaysia, Tengku Zafrul berkata ia jelas mencerminkan keyakinan ke atas ekonomi negara terus kekal dalam landasan pemulihan tepat dengan prospek yang stabil.

Beliau berkata, laporan firma penarafan antarabangsa itu mengunjurkan prospek ekonomi negara yang stabil berlandaskan kepada beberapa faktor utama.

Katanya, ia berdasarkan kepelbagaian, daya saing, skala ekonomi bersaiz sederhana yang besar, sumber semulajadi yang mencukupi serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, malah Moody's turut menjangkakan pandemik COVID-19 tidak akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

"Gelombang jangkitan COVID-19 ketika ini dan masa hadapan hanyalah bersifat sementara dan ia tidak akan menghalang ekonomi negara kembali ke tahap yang lebih tinggi.

"Tambahan pula, kerajaan masih mengekalkan dasar ekonomi dan fiskal yang efektif dan berhemah.

"Program vaksinasi kebangsaan juga membantu memperceatkan pemulihan ekonomi negara jika kita dapat mencapai imuniti berkelompok pada waktu yang disasarkan," katanya.

A3 adalah penarafan yang mencerminkan negara masih memiliki kedudukan kewangan mantap dan mempunyai rizab tunai dengan risiko kemungkiran bayaran semula hutang yang rendah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Berita Harian X