Khamis, 10 Jun 2021 | 2:40pm

'Saya masih Menteri Besar yang sah'

KUALA TERENGGANU: "Saya masih Menteri Besar yang sah," kata Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berseloroh apabila diminta mengulas spekulasi kononnya beliau tersepit dengan pihak istana serta wujud usaha daripada dalaman PAS untuk mengambil alih jawatan beliau.

Menteri Besar itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang, berkata tidak timbul isu mengenai pertukaran Menteri Besar dan menyerahkan isu berkenaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Kalau pasal itu, saya bangun pagi ini masih lagi MB (Menteri Besar) yang sah lagi walaupun ada 10 gambar (individu) jadi MB, bertukar setiap jam.

"Setakat ini, masih MB yang sah (dan) tak timbul lagi apa-apa isu, biar polis jalankan siasatan," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su, hari ini.

Ahmad Samsuri Mokhtar melawat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu hari ini. - Foto NSTP/Zaid Salim
Ahmad Samsuri Mokhtar melawat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu hari ini. - Foto NSTP/Zaid Salim

Ketika ditanya mengenai dakwaan wujudnya perpecahan dalam PAS Terengganu, Ahmad Samsuri mengingatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan fitnah.

"Saya pun hairan, orang tak ingat api neraka dan dia buat fitnah. Jadi, saya nak seru orang ramai, ingat sikit sebab buat fitnah itu api neraka ada dan kita ini hidup lama (akan) mati juga," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan sebuah portal yang disifatkan sebagai fitnah dan tidak betul pada Selasa lalu.

Antara dakwaan yang disiarkan dalam artikel itu adalah MB Terengganu kini tersepit dengan pihak istana serta wujud usaha daripada dalam PAS untuk mengambil alih jawatan MB.

Satu borang "surat akuan berkanun" sudah disediakan untuk membolehkan ADUN Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto fail NSTP
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto fail NSTP
Berita Harian X