X
Rabu, 9 Jun 2021 | 4:22pm

Jangan lobi pelantikan Naib Canselor universiti - CUEPACS

KUALA LUMPUR: CUEPACS meminta mana-mana pihak tidak mengganggu urusan pemilihan Naib Canselor universiti awam (UA) dengan mencadangkan calon secara terbuka.

Presidennya, Adnan Mat, berkata CUEPACS berharap pihak yang mempunyai kepentingan tidak campur tangan dalam soal pemilihan Naib Canselor yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

"Campur tangan pihak ini terutama dalam mencadangkan sendiri nama calon Naib Canselor yang sesuai adalah tidak wajar kerana dikhuatiri mempunyai kepentingan tertentu.

"Cadangan nama-nama tertentu secara terbuka juga boleh mengakibatkan keharmonian bekerja terjejas apabila wujudnya kumpulan yang cuba melobi ketua masing-masing untuk mendapatkan jawatan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, CUEPACS mendedahkan KPT gagal melantik Naib Canselor untuk lima universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Semalam, KPT menyatakan Naib Canselor untuk UPSI dan UPM akan diumumkan dalam waktu terdekat, manakala tiga universiti lagi dalam proses temu duga calon yang sesuai.

Adnan berkata, CUEPACS percaya proses pemilihan yang dilakukan oleh KPT adalah telus dan tepat dalam mencari calon yang terbaik dan sesuai bagi menggalas kekosongan jawatan Naib Canselor di UA.

"Janganlah ada cubaan untuk mengganggu urusan pemilihan dengan mencadangkan nama-nama yang diingini secara terbuka," katanya.

Beliau menjelaskan CUEPACS akan terus bersama KPT dan menghormati setiap keputusan yang dilakukan demi kebaikan perkhidmatan awam di institusi pengajian tinggi negara.

CUEPACS percaya KPT dan Akademi Pendidikan Kepimpinan Pendidikan Tinggi yang diwujudkan mampu mengenal pasti dan mengembangkan bakat kepemimpinan di institusi dalam kalangan ahli akademik terutama di UA.

Dalam perkembangan sama, katanya CUEPACS menghargai maklum balas KPT dalam isu kekosongan jawatan Naib Canselor membabitkan lima UA ketika ini.

"Komitmen yang dizahirkan oleh KPT untuk menyelesaikan isu kekosongan jawatan Naib Canselor di lima UA dalam tempoh masa terdekat, amat dihargai oleh CUEPACS.

"Hasrat utama CUEPACS dalam isu ini hanyalah mahu memastikan potensi sepenuhnya institusi pengajian tinggi negara dapat diterokai sepenuhnya melalui urus tadbir yang cemerlang terutama ketika negara sedang mengalami pandemik COVID-19," katanya.

Beliau menjelaskan pelantikan Naib Canselor yang baharu dengan cepat sudah tentu membolehkan operasi pentadbiran universiti berjalan dengan baik sekali gus berada dalam landasan tepat untuk melaksanakan hala tuju, visi dan misi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Berita Harian X